WARGA USM KONGSI KEMERIAHAN PESTA TANGLUNG
PULAU PINANG, 28 September 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menggalakkan dan menyediakan peluang kepada mahasiswa-mahasiswinya untuk melibatkan diri dalam kegiatan berpersatuan terutamanya aktiviti-aktiviti bertemakan kebudayaan dan kesenian agar dapat meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan mengenali budaya sendiri.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ketika berucap dalam majlis perasmian sambutan Pesta Tanglung USM 2013 di sini hari ini.
Dato’ See berkata, selaras dengan objektif penganjurannya, pesta itu juga diharap dapat mempromosikan budaya, tradisi dan kesenian masyarakat Tionghua kepada warga kampus khususnya mereka dari keturunan dan latar budaya yang berbeza, sekaligus mengukuhkan lagi semangat muhibbah yang telah wujud dalam kalangan warga kampus.
“Malah saya begitu gembira kerana pesta ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja dari warga kampus tetapi juga dari masyarakat luar kampus yang turut mengambil kesempatan ini untuk berkunjung ke universiti tercinta kita ini.
“Saya juga kagum dengan semangat kesukarelawanan dan komitmen tinggi serta usaha bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa Pesta Tanglung kerana berjaya menganjurkan majlis sebesar ini walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesulitan terutamanya dalam aspek penajaan,” kata beliau.
Pesta Tanglung ini adalah aktiviti pertama yang dianjurkan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) yang baru dilancarkan pada 23 September lalu, dengan matlamat memantapkan mahasiswa-mahasiswi dengan pengetahuan dan kemahiran pelbagai aspek seni dan budaya masyarakat Tionghua.
Mengikut Yang di-Pertuanya, Tan Joo Wei, SKKT diharap dapat dijadikan platform untuk mencungkil bakat-bakat baru khususnya dalam kalangan pelajar tahun pertama agar terdapat kesinambungan dalam meneruskan misi dan visi Sekretariat pada masa yang akan datang.
Pesta Tanglung USM 2013 turut mempertontonkan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, orkestra dan pertunjukan kebudayaan Cina yang menarik di samping pertandingan melukis dan membuat tanglung yang terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.
Turut hadir ialah suami Dato’ See, Dr. Sam Teng Wah; Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Mansur Abdullah; dan Pengarah Pesta Tanglung USM 2013, Ooi Chin Teck. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1708