DYMM TUANKU CANSELOR MENCEMAR DULI KE MAJLIS SANTAPAN TENGAH HARI USAI SIDANG PERTAMA KONVOKESYEN KE-63
PULAU PINANG, 25 November 2025 – DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selaku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkenan mencemar duli ke Iconic Marjorie Hotel, Pulau Pinang untuk menghadiri majlis santapan tengah hari sejurus selesai merasmikan Upacara Konvokesyen Ke-63 USM.

Majlis tersebut dihadiri oleh ahli Lembaga Gavenor Universiti, tetamu diraja, tetamu jemputan dan pengamal media serta turut disertai Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sebagai tetamu istimewa.

Majlis santapan tengah hari itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian tradisional oleh Figura Band Perlis yang turut disertai Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, apabila beliau berkenan menyampaikan sebuah lagu semasa majlis berlangsung.

Menurut seorang staf Pejabat Naib Canselor (PNC), majlis santapan tersebut diadakan khusus untuk meraikan DYMM Tuanku Canselor yang berkenan merasmikan Upacara Konvokesyen Ke-63 USM, sejajar dengan hubungan berterusan Baginda dengan USM selaku universiti APEX negara.
Beliau menjelaskan bahawa majlis ini turut menyediakan buah tangan sebagai tanda penghargaan kepada para tetamu di samping pelbagai menu hidangan yang disajikan sepanjang majlis berlangsung.
“Majlis santapan tengah hari ini menjadi tradisi USM bagi meraikan DYMM Tuanku Canselor yang mencemar duli merasmikan Upacara Konvokesyen Ke-63 USM serta menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan pada Sidang 1,” ujar beliau.
Majlis santapan tengah hari tersebut diakhiri dengan persembahan nyanyian dan ucapan penutup oleh pengacara majlis sebagai penutup acara.
Teks: Muhammad Abid Naqiuddin Mohd Zaki, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi
- Created on .
- Hits: 160