KEBERANGKATAN DYMM TUANKU CANSELOR SEMARAKKAN SIDANG PERTAMA KONVOKESYEN USM KE-63
USM, PULAU PINANG, 25 November 2025 – Keberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), telah menyemarakkan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-63 yang berlangsung pagi ini di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), kampus induk USM.

Keberangkatan tiba Baginda disambut penuh adat ketenteraan, termasuk istiadat tabik hormat oleh Pasukan PALAPES USM sejurus ketibaan di perkarangan DTSP.

Upacara tersebut turut diiringi oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, dan disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama barisan kepimpinan universiti, sebagai lambang penghormatan terhadap institusi Diraja dan warisan akademik USM.

Pasukan PALAPES USM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan – darat, laut dan udara – melaksanakan tabik hormat rasmi sebagai simbol penghormatan tertinggi kepada Tuanku Canselor yang mengetuai istiadat konvokesyen secara tahunan.
Menurut seorang Pegawai Petugas Konvokesyen, istiadat ini menzahirkan kesinambungan tradisi USM dalam mengangkat institusi Diraja sebagai tonggak nilai universiti serta mengukuhkan jalinan dengan pasukan beruniform kampus.
Tambah beliau, penglibatan aktif PALAPES menyerlahkan komitmen USM dalam melahirkan graduan holistik yang cemerlang dari segi kepimpinan, akademik dan khidmat kepada negara.
“Upacara ini melambangkan penghormatan tertinggi kami kepada Tuanku sebagai payung institusi, dan menjadi simbol kecemerlangan USM dalam menjunjung adat istiadat yang diwarisi,” ujarnya.
DYMM Tuanku Canselor kemudiannya berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormat sebelum memasuki DTSP dengan iringan pegawai istiadat universiti bagi meneruskan acara penganugerahan ijazah kepada para graduan.
Keberangkatan Baginda yang hadir penuh berwibawa memperlihatkan komitmen tinggi terhadap agenda pendidikan tinggi serta kesinambungan tradisi Diraja dalam landskap akademik negara.
Sidang Konvokesyen Ke-63 diteruskan dengan penganugerahan ijazah kepada para graduan daripada pelbagai pusat pengajian, disaksikan oleh barisan kepimpinan universiti, ahli akademik, serta keluarga graduan yang turut hadir meraikan detik bersejarah itu.
Teks: Amna Nasuha Khotibsharbini, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 266