USM PERKUKUH KEPAKARAN REKA BENTUK LITAR BERSEPADU TERMAJU MELALUI BAKAT TEMPATAN DAN KERJASAMA GLOBAL
USM PULAU PINANG, 24 November 2025 — Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju penyelidikan mikroelektronik negara menerusi pencapaian graduan dan aktiviti penyelidikan bertaraf antarabangsa di Pusat Usahasama Kecemerlangan Reka Bentuk Mikroelektronik (CEDEC), dengan sokongan padu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta komitmen berterusan pengurusan tertinggi USM.

Dr. Norhamizah Idros telah menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D.) pada Disember 2024 di CEDEC, USM, di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Jagadheswaran Rajendran, Dr. Selvakumar Mariappan, dan Zulfiqar Ali Abd Aziz.

Penyelidikan beliau, yang ditaja melalui geran CREST R&D bersama AdvanceTC Group Sdn. Bhd., memfokuskan kepada pembangunan CMOS pipelined ADC dan hybrid DAC berprestasi tinggi untuk sistem komunikasi tanpa wayar generasi baharu.
Berasal dari Taiping, Perak, Norhamizah merupakan alumni sepenuhnya USM, setelah menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (2016) dan Sarjana Sains Kejuruteraan Sistem Mikroelektronik (2019).
Kecemerlangan beliau telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij, antaranya Anugerah Kertas Terbaik RoViSP 2025, Tempat Pertama Anugerah Tesis Ph.D. IEEE Circuits and Systems Society Malaysia 2024, Anugerah Pembentang Terbaik VLSI 2017, serta Pingat Emas (Kategori Kurang Upaya) 2016.
Kini berkhidmat sebagai Felo Pasca Doktoral di CEDEC USM, Norhamizah meneruskan penyelidikan dalam reka bentuk CMOS ADC/DAC berprestasi tinggi dan ultra-rendah kuasa untuk sistem komunikasi generasi baharu serta aplikasi AI-edge.
Pencapaian ini diperkukuhkan melalui ekosistem penyelidikan CEDEC yang berorientasikan industri dan kerjasama antarabangsa, dibangunkan di bawah kepimpinan Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf, serta disokong oleh dasar strategik dan pembiayaan daripada KPT dan sokongan menyeluruh pengurusan tertinggi USM, termasuk pemerkasaan infrastruktur, fasiliti makmal, dan pembangunan bakat.
CEDEC kini mempunyai akses kepada Process Design Kit (PDK) 65 nm, 28 nm TSMC melalui program akademik dan MPW, serta telah dipertingkatkan melalui kerjasama TSRI–TSMC University FinFET Program bagi proses 16 nm FinFET pada tahun 2023.

Tambahan pula, CEDEC USM telah memantapkan kedudukannya sebagai pusat rujukan nasional selepas menerima akses kepada Intel 18A PDK, menjadikan USM antara universiti terawal di luar Amerika Syarikat yang diberi kepercayaan untuk menggunakan teknologi nod termaju bagi pembangunan cip AI dan sistem berprestasi tinggi bagi tujuan penyelidikan dan akademik.

Sepanjang pengajian Ph.D., Norhamizah terlibat secara langsung dalam mereka bentuk dan mengesahkan prestasi litar ADC dan DAC menggunakan teknologi 65 nm TSMC, di bawah geran CREST melalui kerjasama strategik bersama AdvanceTC Group Sdn. Bhd.
Projek ini turut disokong oleh pasukan teknikal yang terdiri daripada pelajar Ph.D., jurutera penyelidikan, dan staf teknikal CEDEC, sekali gus mencerminkan keberkesanan model kerjasama universiti–industri–kerajaan yang turut dipacu oleh sokongan KPT dan kepimpinan strategik USM.
Melalui gabungan bakat tempatan, infrastruktur, sokongan kerajaan seperti SIAP dan perisian EDA, serta kerjasama global bersama TSMC dan Intel Foundry, USM CEDEC terus memperkukuh peranannya sebagai hab strategik negara dalam pembangunan bakat dan inovasi teknologi semikonduktor generasi baharu.
- Created on .
- Hits: 876