USM ANUGERAHKAN IJAZAH KEHORMAT KEPADA TOKOH BANDAR LESTARI DUNIA
USM, PULAU PINANG, 25 November 2025 – Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-63 menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah kepada Dato’ Seri Paduka TPr. Maimunah Mohd Sharif, tokoh tersohor pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengiktirafan berprestij ini disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor USM sebagai penghormatan terhadap sumbangan lebih tiga dekad beliau dalam membentuk landskap bandar yang inklusif, lestari dan berdaya huni.

Maimunah merupakan wanita Asia pertama yang menerajui UN-Habitat sebagai Pengarah Eksekutif dan pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sepanjang memimpin UN-Habitat, beliau bertanggungjawab menguruskan operasi di 93 buah negara dan melaksanakan mandat global yang memberi impak besar kepada perancangan bandar dunia.
Di peringkat nasional, beliau pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15.
Tempoh pentadbiran beliau selama 15 bulan di ibu negara menyaksikan kejayaan mewartakan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 serta memperkukuh kerjasama strategik serantau menerusi penganjuran acara ASEAN.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan pernah menjadi Pengerusi George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).
Maimunah turut dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang dekat dengan komuniti akar umbi serta gigih memperjuangkan isu golongan terpinggir.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan komitmen beliau dalam memperkasa pembangunan bandar yang berteraskan prinsip kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat.
Dengan pengalaman luas serta ketokohan kepimpinan bertaraf global, beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi pemimpin masa hadapan dalam menjadikan bandar sebagai ruang kehidupan yang inklusif dan berdaya tahan.
Teks: Nur Amirah Harun, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 393