USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAN STAF AKADEMIK DAN PENGERUSI LGU DILANTIK SEBAGAI PRO-CANSELOR USM

WhatsApp Image 2025 11 25 at 1.50.01 PM

USM PULAU PINANG, 25 November 2025 – Dato’ Seri Dr. Awang Adek, mantan staf akademik dan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (LGU USM), dilantik sebagai Pro-Canselor USM yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2025, menggantikan Tan Sri Dato' Dr. M. Jegathesan yang tamat tempoh perkhidmatan beliau pada 30 September 2025.

Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan majlis ringkas pengurniaan watikah pelantikan kepada Dato’ Seri Dr. Awang Adek sempena Majlis Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

Dato’ Seri Dr. Awang Adek membawa pengalaman lebih empat dekad merentasi pelbagai sektor utama, termasuk akademia, tadbir urus universiti, kewangan, korporat, diplomasi dan politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Ketua Pengarah Labuan 'Offshore Financial Services Authority' (LOFSA), serta Pengerusi Lembaga Gabenor USM. Dalam peranan tersebut, beliau telah memperlihatkan tanggungjawab strategik dalam memperkukuh tadbir urus institusi dan memacu pembangunan strategik universiti.

Dalam bidang korporat, beliau telah mengetuai organisasi penting negara termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN), selain berkhidmat sebagai penasihat strategik kepada pelbagai institusi terkemuka. Dari sudut diplomasi, beliau pernah ditugaskan sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, manakala dalam arena politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Senator dan Ahli Parlimen.

Dato’ Seri Dr. Awang Adek dikenali kerana kepimpinan strategiknya dengan integriti yang teguh serta keupayaan menyelesaikan masalah secara berkesan dan berupaya memberikan impak signifikan kepada pelbagai institusi di bawah teraju beliau. Pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor dijangka dapat memperkukuh hubungan strategik antara universiti, alumni, masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan, selaras dengan visi dan misi USM.

Majlis penyerahan watikah pelantikan ini turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama ahli Lembaga Gabenor, barisan pengurusan tertinggi universiti serta wakil alumni. Kehadiran barisan kepimpinan dan komuniti universiti menunjukkan satu penghormatan terhadap pelantikan tersebut, selain bukti keyakinan warga USM terhadap sumbangan berterusan Dato’ Seri Dr. Awang Adek dalam memacu kecemerlangan institusi.

Pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor turut mencerminkan komitmen berterusan USM untuk melibatkan tokoh berwibawa yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran, kepimpinan dan pembangunan negara. Dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang merentas pelbagai sektor, kehadiran beliau dijangka akan memperkukuh hubungan strategik universiti dengan pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus menyokong aspirasi USM untuk terus unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.

Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM/Suntingan: Bahagian Pengurusan Majlis, Protokol dan Istiadat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis

  • Created on .
  • Hits: 608

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025