SANGGAR SANJUNG 2024: TRADISI & INOVASI DIRAI BERSAMA CANSELOR USM

PULAU PINANG, 24 November 2025 – Majlis Sanggar Sanjung 2024 Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dengan penuh istiadat di AC Hotel Pulau Pinang, diserikan oleh kehadiran Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Majlis edisi 2024 ini bertemakan “Menyulam Tradisi, Melakar Inovasi”, menggambarkan komitmen USM dalam mengimbangi warisan kecemerlangan dengan pembaharuan strategik sejajar hasrat menjadi universiti transformatif bertaraf global.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan titah ucapan, menyatakan penghargaan terhadap pengurusan tertinggi USM dan urus setia atas penganjuran majlis bermakna yang menghargai pencapaian penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa.
Baginda menzahirkan rasa bangga terhadap kecemerlangan USM yang diiktiraf oleh badan-badan berprestij seperti UNESCO, sekali gus menyerlahkan kekuatan penyelidikan universiti ini di peringkat global.


Majlis turut mengiktiraf pencapaian 11 penerima utama melalui kategori seperti Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Kualiti, Anugerah Sanjungan Industri, Anugerah Kepimpinan Masyarakat, Kategori Penerbitan Buku, Paten, Ketokohan, Geran Penyelidikan Industri, Geran Penyelidikan Antarabangsa serta Penerbitan Jurnal.
Sebagai penghargaan istimewa, majlis turut menyaksikan pengumuman penerbitan buku “Payung Kedaulatan”, iaitu naskhah khas yang mendokumentasikan kepimpinan berhikmah Canselor USM sebagai lambang kebesaran budi dan inspirasi semangat universiti.


Sanggar Sanjung yang diperkenalkan pada tahun 2001 merupakan acara tahunan berprestij USM bagi meraikan sumbangan cemerlang warga universiti dalam bidang penyelidikan, penerbitan, kualiti, pengajaran, kreativiti dan ketokohan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.


Teks: Farisha Norlia Akihito, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 391