DEBARAN MAJLIS SEBENAR: SIMULASI ISTIADAT KONVOKESYEN PERKEMAS PROTOKOL DAN PERSIAPAN AKHIR

USM PULAU PINANG, 23 November 2025 – Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) menjadi lokasi pelaksanaan simulasi penuh Istiadat Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dengan tujuan memperkemas setiap protokol dan pergerakan agar majlis sebenar berlangsung lancar serta memberikan pengalaman terbaik kepada para graduan dan tetamu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Graduan, Puan Amra Othman, simulasi ini melibatkan bahagian-bahagian terpenting dalam memastikan kelancaran majlis, dengan persiapan telah dimulakan sebulan lebih awal di peringkat pengurusan sebelum diteruskan ke sesi raptai di DTSP.

“Pada hari simulasi, beberapa komponen utama diselesaikan termasuk raptai luar dan dalam dewan. Di bahagian dalam dewan, petugas mula meletakkan tanda nama di kerusi mengikut ketetapan yang telah ditentukan” ujar Amra.
Simulasi turut merangkumi acara utama seperti sesi menyambut ketibaan tetamu kehormat, latihan perbarisan kehormatan, perarakan utama memasuki dewan dan pemeriksaan teknikal, yang meliputi pengujian keberkesanan kad graduan dan sistem berkaitan bagi memastikan tiada gangguan teknikal semasa majlis berlangsung.
Raptai tersebut juga memberi pendedahan kepada semua petugas mengenai peranan masing-masing pada hari konvokesyen sebenar, di samping latihan khusus kepada pembawa Cokmar bagi memastikan pembawaan dan perletakan Cokmar dilakukan mengikut tatacara istiadat.
Pembawa Cokmar bagi Sidang Pertama Konvokesyen, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rodzi Ismail, dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) memaklumkan bahawa seramai 14 ditugaskan membawa Cokmar bagi 14 sidang konvokesyen, dan beliau dipertanggungjawabkan untuk membawa Cokmar untuk sidang pertama.


Menurut beliau, “Cokmar ini merupakan simbol kebesaran universiti dan signifikan sebagai pembuka setiap sidang konvokesyen; rujukan lanjut boleh didapati dalam buku upacara konvokesyen yang memperincikan peranan serta maknanya,” tambah Dr. Mohd Rodzi.
Presiden Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran USM (PKAPUSM), Dr. Zuraidah Abu Bakar, menjelaskan bahawa pembawa cokmar dipilih dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PKAPUSM serta ahli PKAPUSM yang berdaftar, dan beliau berharap agar semua 14 sidang konvokesyen berlangsung mengikut ketetapan dan protokol yang telah dirancang.
Beliau turut mengharapkan agar para graduan merasai pengalaman yang gembira dan bermakna sepanjang istiadat konvokesyen, kerana bagi kebanyakan mereka inilah detik penting yang jarang berulang memandangkan tidak semua akan melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
Teks: Nurul Iffah Athirah Mohamad Aidil, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 495