USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAPTAI PERBARISAN PALAPES LENGKAPKAN SIMULASI PENUH KONVOKESYEN KE-63 USM

WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.53.56

USM PULAU PINANG, 23 November 2025 – Simulasi penuh Majlis Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) bermula pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM melaksanakan raptai perbarisan penghormatan sebagai persediaan menerima ketibaan pembesar dan kenamaan pada 25 November 2025.

Raptai tersebut melibatkan Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama tiga cabang PALAPES yang terdiri daripada PALAPES Darat, PALAPES Laut dan PALAPES Udara, dalam usaha memastikan kelancaran protokol istiadat konvokesyen pada hari pelaksanaan.

WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.53.59

Seramai satu pegawai sukarela, dua pegawai kadet dan 90 pegawai kadet PALAPES terlibat dalam raptai tersebut, yang dimulakan seawal pukul 9.00 pagi dan diulang sebanyak tiga kali bagi memastikan penyelarasan barisan perbarisan berjalan dengan sempurna.

Latihan perbarisan telah dijalankan selama tiga minggu dan dijadualkan berakhir pada 24 November 2025 sebagai persiapan akhir sebelum majlis sebenar.

WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.53.58

Raptai dimulakan dengan kemasukan pasukan muzik PALAPES diikuti pergerakan kawad oleh PALAPES Darat, PALAPES Laut dan PALAPES Udara, sebelum barisan diluruskan, senjata diturunkan dan laporan jumlah kadet disampaikan kepada DYMM Tuanku Raja Perlis sebagai tetamu diraja yang akan berangkat ke konvokesyen.

Pelaksanaan raptai dan perbarisan penghormatan oleh PALAPES turut menyumbang secara tidak langsung kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh, melalui pembudayaan disiplin, kepimpinan serta semangat perpaduan dalam kalangan kadet.

WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.54.03 WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.54.05

Menurut Jurulatih Pegawai Kadet, Kapten Muhammad Syarifuddin, “Kami menitikberatkan persiapan fizikal, latihan padang perbarisan, kawalan, tutur cara ahli perbarisan serta pematuhan protokol dan disiplin.”

Beliau menambah bahawa, “Kami mahu menampilkan mutu disiplin serta kesiapsiagaan PALAPES USM dan berharap perbarisan konvokesyen pada tahun ini berjalan dengan lancar serta kekal sebagai pengalaman terbaik kepada semua yang terlibat.”

WhatsApp Image 2025 11 23 at 12.54.00

Teks: Farisha Norlia Akihito, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 443

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025