KAJIAN PERKUBURAN BERTINGKAT USM RAIH PERHATIAN DI PARLIMEN

USM PULAU PINANG, 20 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima geran penyelidikan khusus daripada Jabatan Agama Islam Persekutuan bagi melaksanakan kajian pelaksanaan dan mekanisme pengkebumian jenazah di tanah perkuburan bertingkat di Wilayah Persekutuan, dengan tempoh kajian bermula pada Mac 2025 hingga 30 November 2025.

Kajian ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Sahad yang turut disertai penyelidik bersama dari beberapa universiti termasuk UKM, USIM dan IPG Ipoh, sekali gus memperlihatkan kerjasama antara institusi dalam menghasilkan dapatan kajian yang memberi manfaat kepada agensi kerajaan serta jabatan agama.

Inisiatif penyelidikan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-17: Kerjasama Demi Matlamat, kerana ia melibatkan jaringan kolaboratif antara USM, JAWI dan institusi pengajian tinggi lain dalam menyediakan analisis ilmiah yang dapat menyokong pembangunan dasar serta polisi berkaitan pengurusan tanah perkuburan bertingkat.
Kajian ini turut berperanan memberikan justifikasi ilmiah kepada masyarakat mengenai pelaksanaan tanah perkuburan bertingkat melalui penyediaan penjelasan yang menyeluruh berhubung aspek fiqh, peraturan serta keperluan semasa yang mendorong pewujudan model baharu pengkebumian di kawasan bandar.
Menurut Dr. Nizam, “Mengkaji dan menulis laporan ini membuka ruang kepada penemuan baharu yang dapat dimanfaatkan oleh agensi, NGO dan masyarakat,” sambil menzahirkan harapan agar tempoh penyelidikan dapat dilanjutkan bagi tujuan penerbitan sebuah buku berimpak tinggi khususnya berkaitan kandungan bab fiqh tanah perkuburan.
Beliau menegaskan bahawa memberikan kefahaman menyeluruh kepada masyarakat sebelum pelaksanaan kubur bertingkat amat penting bagi mengelakkan isu sensitif yang boleh menjejaskan pihak-pihak yang terlibat, sekaligus memastikan penerimaan masyarakat terhadap pendekatan pengkebumian baharu ini dapat dipertingkatkan.
Kajian yang diketuai oleh Dr. Nizam ini turut meningkatkan keterlihatan USM di peringkat nasional apabila beberapa laporan berita termasuk RTM dan Astro Awani menampilkan perkembangan kajian tersebut, selain turut disebut di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Antara komponen penting kajian ini ialah proses mengenal pasti model perkuburan bertingkat yang paling sesuai untuk diadaptasi oleh Jabatan Agama, melibatkan penilaian terhadap beberapa model seperti model tindan, model tambak, model keranda dan model gali semula.
Teks & Foto: Farisha Norlia Akihito, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 444