USM TERIMA SUMBANGAN RM30,000 E-BIKE UNTUK PELAJAR ASNAF OKU DARIPADA AFFIN ISLAMIC BANK

USM PULAU PINANG, 20 November 2025 — Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyerahkan 10 buah unit e-bike kepada 10 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) hasil sumbangan bernilai RM30,000 daripada Affin Bank Islamic Berhad sebagai sokongan kepada kemudahan mobiliti pelajar asnaf OKU di kampus.
Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa dan disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan pihak bank terhadap kebajikan pelajar.
Menurut beliau, sumbangan ini amat bermakna kepada para pelajar OKU yang sedang menempuh pengajian di USM dengan berdepan cabaran pergerakan, mereka tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi dan keazaman untuk menamatkan pengajian.

“Saya berharap penyediaan e-bike ini akan membantu mereka bergerak lebih mudah ke kelas, aktiviti kampus serta urusan harian.
“Inisiatif ini selari dengan komitmen USM untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan kondusif sejak hari pertama pelajar melangkah masuk ke USM. USM akan memastikan pelbagai skim bantuan disediakan memberi tumpuan khusus kepada golongan asnaf fakir miskin, OKU, keluarga B40, dan mahasiswa sulung,” ucap beliau.

Tambah Abdul Rahman lagi, melalui agihan zakat wakalah, USM memperuntukkan 27 skim bantuan merangkumi sokongan kewangan, kebajikan, akademik dan mobiliti pelajar.
“Pelbagai bantuan ini dirangka sebagai usaha holistik untuk memastikan pelajar yang berdepan kekangan ekonomi atau fizikal tidak tercicir dan terus mendapat peluang pendidikan setara,” jelas beliau lagi.
Naib Canselor turut menegaskan bahawa inisiatif kebajikan ini selari dengan lima prinsip Maqasid Syariah serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam aspek pengurangan kemiskinan, pendidikan berkualiti dan kesejahteraan komuniti, yang menjadi asas kepada komitmen USM dalam mengutamakan kebajikan pelajar.
Keselarasan ini menjadi asas kukuh kepada reputasi USM sebagai universiti yang mengutamakan kesejahteraan pelajar.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk institusi kewangan seperti AFFIN Islamic Bank yang secara konsisten menyokong inisiatif universiti.
Menurut Muhammad Zulfahmi Shahardi, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, bantuan tersebut memudahkannya untuk ke kuliah dan menyertai aktiviti kampus, memandangkan beliau sebelum ini terpaksa menyewa perkhidmatan e-hailing setiap kali ke kelas akibat kecacatan fizikal pada bahagian kaki yang menyukarkannya menaiki bas.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada USM dan AFFIN Islamic Bank atas sumbangan e-bike yang disifatkan sebagai bantuan penting bagi mengurangkan beban harian pelajar OKU, sambil mewakili penerima lain menyampaikan penghargaan atas keprihatinan pihak universiti dan penyumbang.
Turut hadir bersama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pendaftar USM, Mohd Azizuddin Mohd Shariff; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, USM, Shukeri A. Rahaman; Pengarah Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq (ZAWAIN), USM, Dr. Nazrul Hassan dan Pengurus Perhubungan Awam, AFFIN Islamic Bank Berhad, Shahrul Nizam Omar.
Teks: Dr. Nazrul Hassan, Pengarah, Pejabat Zakat, Waqaf, dan (Infaq) Zawain/Suntingan: Muhammad Airul Afzan Azlan, intern @ MPRC, Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 393