PPPJJ USM JALANKAN PROGRAM MOBILITI BERTERASKAN MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN KE RUTS SONGKHLA
SONGKHLA, THAILAND, 18 November 2025 – Seramai 10 pelajar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Mobiliti Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan ke Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Songkhla dan kesemua peserta terdiri daripada pelajar pelbagai bidang yang sedang berkhidmat di agensi kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia.

Delegasi ini diketuai oleh Dekan PPPJJ, Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob bersama Dr. Sah-Hadiyatan Ismail dan Encik Mohd Rashid Abdul Rejab sebagai pengiring.
Program ini dijalankan melalui inisiatif Geran Mobiliti yang diberikan oleh Pejabat Antarabangsa USM yang menekankan kepentingan menerapkan elemen kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan.

Lawatan akademik ini bertujuan memperkukuh kerjasama melalui perkongsian amalan terbaik berkaitan kelestarian, inovasi teknologi hijau dan pembangunan komuniti mampan. Pelajar turut mengikuti sesi taklimat, wacana kepakaran serta tinjauan lapangan yang memberi pendedahan langsung kepada pelaksanaan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan di RUTS.
Program ini disifatkan sebagai pengalaman yang amat bermakna bagi salah seorang peserta, Muhammad Razin Rosidian, “Program ini membuka perspektif baharu kepada saya tentang bagaimana universiti luar negara melaksanakan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan secara menyeluruh. Ia memberi inspirasi untuk kami membawa amalan kelestarian ke USM, tempat kerja dan komuniti kami.”

Program mobiliti ini menjadi platform penting dalam usaha PPPJJ USM melahirkan graduan yang berfikiran global, profesional serta komited terhadap agenda kelestarian sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh
- Created on .
- Hits: 396