IPv6 TIDAK ASING DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 26 Sept. 2013 – Pelaksanaan protokol internet versi keenam (IPv6) kini bukan lagi dilihat sebagai satu perkara asing di negara ini, apatah lagi dengan pertambahan bilangan tenaga terlatih dalam pengaplikasian dan pengendaliannya.
Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sureswaran Ramadass berkata, IPv6 adalah satu protokol baru yang menyediakan alamat protokol internet (IP), menggantikan penggunaan protokol sedia ada iaitu IPv4.
Katanya, IPv6 juga boleh disifatkan sebagai satu inovasi kepada dunia internet kerana ia memberi peluang kepada pertambahan jumlah maklumat dan pengguna yang berkali-kali ganda jika dibandingkan dengan IPv4.
“Di Malaysia, perubahan baik ini semakin diterima dan sehingga kini kebanyakan daripada masyarakat khususnya mereka yang terlibat dengan dunia komunikasi dan internet sudah bersedia dengan IPv6.
“Kita juga sudah jarang menerima pertanyaan-pertanyaan asas berkenaan IPv6 kerana mereka mula peka dan faham dengan langkah yang diambil banyak pihak untuk bertukar ke IPv6,’’ katanya ketika mengulas perkembangan IPv6 di negara ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis perasmian International IPv6 Conference 2013 yang berkisarkan kepada tema utama iaitu How to Meet IPv6 Implementation Requirements? di International University of Malaya-Wales (IUMW) Kuala Lumpur, semalam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.
Tambah Sureswaran, Malaysia kini di peringkat meneroka jalan penyelesaian kepada isu-isu yang berbangkit dalam pelaksanaan IPv6, selain turut menjadi pembimbing kepada negara-negara yang baru mula mengenali IPv6.
“Kita dalam proses untuk memperkemaskan pencapaian pelaksanaan IPv6. Kita sangat kukuh dalam aspek garis panduan, garis masa dan sebagainya dan negara-neara luar turut melihat Malaysia sebagai contoh untuk mengimplementasi IPv6,’’ ujarnya.
Sementara itu, Ghauth dalam ucapannya pula berkata, beliau kagum dengan usaha yang telah dilaksanakan NAv6 untuk meningkatkan pengetahuan umum serta melatih pakar-pakar bidang internet dan komunikasi.
Katanya, UM turut berhasrat untuk menjalinkan usahasama dengan NAv6 khususnya dalam menjalankan penyelidikan, sekaligus berusaha untuk membawa kemajuan dalam bidang teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
International IPv6 Conference 2013 dianjurkan secara bersama di antara USM, IUMW dan UM, disertai oleh lebih ratusan peserta yang terdiri daripada pelajar ijazah tinggi, pemain industri dan mereka yang terlibat dengan dunia komunikasi dan internet.
Persidangan sehari itu menghimpunkan pakar-pakar bidang IT termasuk Presiden IPv6 Global Forum, Latif Ladidd, selain turut dihadiri oleh peserta antarabangsa dari India, Jepun, Taiwan, Arab Saudi dan sebagainya. – Teks dan foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1502