USM LANCAR MAKMAL PENYELIDIKAN SEMIKONDUKTOR TERMAJU & METERAI MOU BERSAMA PURDUE UNIVERSITY
PULAU PINANG, 18 November 2025 – Majlis Peluncuran Advanced Semiconductor Research Laboratory (ASRL) serta pertukaran Memorandum Persefahaman antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Purdue University telah berlangsung di Sains@USM, disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, yang menandakan komitmen nasional dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

Peluncuran ini menjadi pencapaian penting apabila USM muncul sebagai universiti pertama di luar Amerika Syarikat yang menerima akses rasmi kepada Intel 18A Process Design Kit (PDK) untuk tujuan penyelidikan dan pengajaran dalam reka bentuk cip, suatu pengiktirafan besar terhadap kapasiti penyelidikan dan pembangunan teknologi universiti.

Kerjasama antara USM, Intel dan Purdue University turut memperkukuh kapasiti penyelidikan serta pembangunan bakat semikonduktor dalam bidang reka bentuk cip dan sistem termaju, melalui sokongan teknologi 18A PDK, platform EDA industri dan program akademik bersama yang membolehkan pelajar dan penyelidik mereka bentuk cip sebenar, menjalani pertukaran akademik antarabangsa dan memperoleh micro-credentials profesional.

Menurut Datuk Azlinda, “Majlis hari ini bukan sekadar pelancaran makmal atau pemeteraian kerjasama, tetapi merupakan satu kenyataan jelas bahawa Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk memasuki era baharu kepimpinan global dalam bidang semikonduktor,” kerana Malaysia kini bukan lagi pemerhati inovasi dunia, tetapi penyumbang aktif melalui peningkatan penguasaan reka bentuk cip dan teknologi termaju.

Dalam ucapan alu-aluan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, beliau menegaskan bahawa pelancaran makmal ini bersama pemerkasaan melalui Intel–USM 18A Design Space dan kerjasama USM–Purdue merupakan langkah penting yang memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor, sekali gus mengangkat USM sebagai hab nasional dalam penyelidikan dan reka bentuk cip termaju.
Inisiatif ini juga menyokong aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 jurutera semikonduktor berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh inovasi, meningkatkan daya saing industri dan memacu penciptaan harta intelek tempatan dalam bidang teknologi cip.

Majlis tersebut turut menyumbang kepada pengukuhan strategi nasional dalam membangunkan ekosistem semikonduktor yang merangkumi universiti, industri dan agensi kerajaan seperti MITI, MIDA, MOSTI, HRD Corp dan CREST, yang bersama-sama memainkan peranan dalam memperkasa rantaian nilai industri semikonduktor negara.

Dengan pelancaran makmal berteknologi tinggi ini serta sokongan kukuh daripada rakan industri dan akademia antarabangsa, Malaysia berada pada landasan utuh untuk muncul sebagai hab reka bentuk dan inovasi cip serantau, seterusnya melahirkan generasi pakar semikonduktor yang mampu bersaing di peringkat global.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Intel Foundry Design, Intel Corporation, Dr. Gary L. Patton; Naib Presiden Teknologi dan Pembuatan Foundry, Intel Corporation, Puan Chong Aik Kean; Naib Presiden Kanan bagi Perkongsian dan Dalam Talian, Purdue University, Dr. Dimitrios Peroulis; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Dr. Rafidah Ahmad, CEDEC/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 539