USM TEGUHKAN PERANAN DALAM PENYELIDIKAN NUTRISI MINYAK SAWIT DI PIPOC 2025

KUALA LUMPUR, 17 November 2025 – Penyertaan Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2025) menyerlahkan peranan Universiti sebagai rakan strategik penting dalam memacu penyelidikan nutrisi minyak sawit ke peringkat global, selaras dengan agenda memperkukuh impak akademik dan industri negara.
USM diwakili oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Prof. Madya Dr. Goh Choon Fu, yang juga penyelidik utama bagi projek berkaitan nutrisi minyak sawit, manakala turut hadir mewakili Naib Canselor USM ialah Dekan PPSF, Prof. Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan, bagi menzahirkan sokongan kepada usaha penyelidikan strategik tersebut.
Dalam ucapan perasmian The Nutrition Satellite Symposium, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa Malaysia kini berada pada landasan kukuh sebagai peneraju global dalam penyelidikan nutrisi minyak sawit, sejajar dengan peranan negara dalam memacu inovasi komoditi tersebut.
Menurut beliau, “Tumpuan Malaysia kini adalah mempercepatkan penemuan penyelidikan dari makmal kepada pasaran supaya dapat menghasilkan produk makanan, nutrisi dan kesihatan yang lebih berkualiti, berasaskan data saintifik yang kukuh dan memberi impak nyata,” yang sekali lagi menekankan keperluan translasi penyelidikan kepada aplikasi industri.
Kerjasama strategik antara universiti, hospital dan institusi penyelidikan turut diperkukuh, termasuk penyertaan dalam kajian besar seperti Kajian PEACE antara MPOB dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi mengukuhkan ekosistem penyelidikan nutrisi minyak sawit di Malaysia.
Antara perkembangan utama yang diumumkan ialah kelulusan kerajaan China untuk penggunaan tokotrienol sawit sebagai bahan makanan, yang menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keselamatan dan potensi nutrisi komponen minyak sawit negara.
Malaysia turut melaksanakan penggunaan minyak sawit merah (RPO) dalam program pemakanan kanak-kanak yang memfokuskan golongan kurang zat dan rentan, selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pemakanan Kebangsaan Ke-18 untuk mengukuhkan intervensi nutrisi berasaskan bukti.
Johari turut menegaskan bahawa Malaysia menawarkan rantaian bekalan minyak sawit yang stabil dan telus, disokong oleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan ekosistem penyelidikan bertaraf dunia, sambil menyifatkan MSPO sebagai bukti kesungguhan negara memenuhi piawaian global dari aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Kehadiran wakil USM pada PIPOC 2025 sekali lagi menegaskan peranan Universiti sebagai institusi penyelidikan utama yang menyumbang kepada pengembangan ilmu dan teknologi minyak sawit, bukan sahaja sebagai komoditi ekonomi tetapi sebagai komponen penting dalam bidang kesihatan dan nutrisi masa depan.
Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Sumber Foto: Berita Harian/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 182