USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI KEJAYAAN PEROLEH GERAN PENYELIDIKAN BERSAMA MALAYSIA-CHINA 2025

WhatsApp_Image_2025-11-14_at_22.06.24_a716c6d7.jpg

USM PULAU PINANG, 15 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai universiti penyelidikan terkemuka apabila berjaya meraih pembiayaan di bawah Program Penyelidikan Bersama Malaysia-China 2025 [Malaysia-China Strategic Research Fund (SRF) Request for Proposal (RFP) 2025].

Program berprestij tersebut dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Sains dan Teknologi Republik Rakyat China (MOST), sekali gus menegaskan kedudukan USM sebagai peneraju dalam memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa serta memperluas impak penyelidikan berteraskan inovasi.

Projek penyelidikan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Chua Yong Shen dari Pusat Pengajian Sains Kimia USM berjaya memperoleh dana berjumlah RM1,285,187 bagi projek bertajuk “Solar-Driven Solid-State Hydrogen Storage Techniques with High Capacity and Their Key Materials.”

Projek tersebut dijangka memberi sumbangan penting dalam pembangunan teknologi tenaga boleh baharu (renewable energy), khususnya dalam bidang penyimpanan hidrogen yang efisien dan mampan.

Majlis penyerahan rasmi geran penyelidikan tersebut telah berlangsung kelmarin di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya, dan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang.

YB Menteri MOSTI menegaskan bahawa pelaksanaan program ini mencerminkan tahap keyakinan serta kematangan dalam pertukaran teknologi antara Malaysia dan China.

“Inisiatif ini bukan sahaja mempercepat usaha peningkatan kapasiti penyelidikan, malah turut memperluas saluran inovasi strategik yang mampu memperkukuh ekosistem sains dan teknologi kedua-dua negara,” kata beliau.

Majlis tersebut turut disertai oleh Penasihat Sains di Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Dr. Zhao Xiandong.  

Turut hadir mewakili USM ialah Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM, Profesor Dr. Zainovia Lockman.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan USM dalam melaksanakan penyelidikan berimpak global serta peranannya sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa yang menyokong agenda negara dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan teknologi lestari.

Teks dan Foto: Irni Syuhada Ibrahim, Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 469

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025