USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENGKEL ‘CODEMASTERMADANI©’ PERKASA CELIK DIGITAL MURID SEKOLAH RENDAH SEBERANG PERAI TENGAH

SEBERANG PERAI TENGAH, 7 Mei 2025 – Seramai hampir 150 murid sekolah rendah bersama 30 guru pengiring dari 30 buah sekolah di Daerah Seberang Perai Tengah telah menyertai program “CodeMasterMadani©: Bengkel Asas Pengkodan Madani untuk Pengaturcara Cilik Secara Bersemuka Peringkat Kebangsaan” yang berlangsung di SK Machang Bubok II pada 5 dan 6 Mei 2025.

Program anjuran Pejabat Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang bertujuan memperkenalkan asas pengaturcaraan dan robotik kepada murid berumur 10 hingga 12 tahun.

012 015

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Tn. Hj. Suhaimi Abdullah, yang menegaskan bahawa bengkel ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh pendidikan teknologi di peringkat sekolah rendah.

“Usaha seperti ini amat signifikan dalam memupuk pelajar yang celik teknologi dan mampu beradaptasi dengan keperluan dunia digital yang sentiasa berubah,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Puan Noradillah Samad, Puan Aishah dan En. Samad Saad yang mewakili kepimpinan pendidikan daerah Kerian dan menyatakan sokongan terhadap pembangunan bakat murid dalam bidang STEM.

Sebanyak 30 set Arduino Promega 2560 hasil sumbangan geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) digunakan sepanjang bengkel tersebut dan penyerahan kit disempurnakan oleh Dr. Ahmad Naqib Shuid dari IPPT USM, selaku Ketua Program CodeMasterMadani©.

“CodeMasterMadani bukan sahaja memperkenalkan asas pengkodan, tetapi juga membuka ruang kepada pelajar untuk membina kemahiran digital masa hadapan,” jelas Dr. Ahmad Naqib.

Bengkel bersemuka ini merupakan fasa pertama sebelum peserta mengikuti siri sesi dalam talian yang dijadualkan berlangsung dari April hingga Disember 2025 sekurang-kurangnya sekali sebulan melalui platform seperti Zoom dan Webex.

011 013

Inisiatif ini bakal memuncak dengan penganjuran Pertandingan Rekacipta Madani peringkat kebangsaan pada penghujung tahun sebagai penutup siri latihan tersebut.

Penganjur berharap usaha ini dapat memperluas minat murid luar bandar terhadap teknologi serta melahirkan generasi muda yang berdaya digital dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Teks & Foto: Dr. Ahmad Naqib Shuid, Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 17

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025