BENGKEL ‘CODEMASTERMADANI©’ PERKASA CELIK DIGITAL MURID SEKOLAH RENDAH BALING
BALING, 23 September 2025 – Hampir 60 murid sekolah rendah dari 12 buah sekolah di Daerah Baling, Kedah menyertai bengkel fizikal 'CodeMasterMadani©: Bengkel Asas Pengkodan Madani untuk Pengaturcara Cilik Peringkat Kebangsaan' yang berlangsung di Dewan Iltizam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling.

Program ini dianjurkan oleh Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) Baling dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebahagian daripada siri jelajah nasional yang memfokuskan pendidikan asas pengaturcaraan dan robotik kepada murid berusia antara 10 hingga 12 tahun.
Majlis perasmian disempurnakan oleh wakil rasmi USTP Baling, En. Mohammad Tajuddin, yang menyifatkan inisiatif ini sebagai pemangkin dalam membina asas kemahiran teknologi sejak peringkat sekolah rendah lagi.


"Langkah seperti ini amat bermakna dalam membina generasi celik digital yang berfikiran kreatif serta mampu menyesuaikan diri dengan arus kemajuan teknologi masa kini," ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Sebagai tanda sokongan kepada aktiviti pengajaran berasaskan aplikasi, sebanyak 40 set Arduino Promega 2560 telah digunakan dalam bengkel ini, hasil sumbangan geran daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
Penyerahan kit ini disempurnakan oleh wakil rasmi IPPT USM, Dr. Ahmad Naqib Shuid, yang juga merupakan Ketua Program CodeMasterMadani© merangkap pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT USM.
“Matlamat utama CodeMasterMadani bukan semata-mata untuk mengajar asas kod, tetapi juga untuk membuka ruang kepada generasi muda agar menjadi individu yang kreatif serta berdaya saing dalam dunia digital,” jelas beliau.


Bengkel bersemuka ini merupakan fasa pertama, diikuti siri latihan dalam talian yang dijadualkan berlangsung setiap bulan mulai April hingga Disember 2025 melalui platform seperti Zoom dan Webex.
Program ini akan mencapai kemuncaknya dengan penganjuran Pertandingan Rekacipta Madani peringkat kebangsaan pada akhir tahun sebagai penilaian keberhasilan sepanjang siri.
Penganjur berharap agar inisiatif berimpak tinggi seperti ini dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar luar bandar, sekali gus menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara yang celik teknologi.

Teks & Foto: Dr. Ahmad Naqib Shuid, Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 32