USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DATO’ SERI DR. MD. SALLEH YAAPAR DINOBAT PENERIMA ANUGERAH PERSURATAN NEGERI PULAU PINANG 2025

WhatsApp Image 2025 11 12 at 19.46.12

PULAU PINANG, 12 November 2025 – Keunggulan ilmuwan dan sarjana sastera terkemuka negara, Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, diiktiraf apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang 2025 sempena Majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) ke-2 yang berlangsung di Crowne Plaza Penang Straits City, malam Ahad lalu.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri oleh YM Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.

Dato’ Seri Salleh Yaapar dilahirkan di Permatang Rawa, Pulau Pinang dan kini merupakan Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan, Akademi Profesor Malaysia serta Profesor Kunjungan di Prince of Songkla University, Thailand.

Beliau sebelum ini berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Profesor Kesusasteraan Bandingan, selain pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Ombudsman dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK).

Selain sumbangan akademik yang luas, beliau juga merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, sebuah institusi penting dalam pembangunan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Antara karya penting beliau termasuk buku 'Poetry and Mysticism: A Hermeneutical Reading of the Poems of Amir Hamzah' (DBP, 1995) yang diiktiraf sebagai rujukan utama dalam bidang kesusasteraan bandingan.

Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (Kementerian Pendidikan Tinggi, 2012), Anugerah Canselor (USM, 2016), dan Anugerah Perdana Penyelidik Sastera dan Budaya Melayu Prolifik (Yayasan Buku Negara, 2017).

Sebagai penghormatan terhadap sumbangan luar biasa beliau, rakan-rakan sarjana antarabangsa turut menerbitkan buku sanjungan bertajuk 'Rainbows of Malay Literature and Beyond: Festschrift in Honour of Professor Dr. Md. Salleh Yaapar' (Penerbit USM, 2014).

IMG 2724 1 1

Dato’ Seri Salleh merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas inisiatif menganjurkan majlis pengiktirafan di peringkat negeri.

“Usaha seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menghargai penggiat sastera, malah menyemarakkan semangat generasi muda untuk terus berkarya,” ujar beliau.

“Penganjuran di peringkat negeri mungkin masih baharu, tetapi ia adalah satu langkah yang proaktif untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berusaha dan bergiat aktif dalam bidang sastera,” kata beliau semasa temu bual di Purple Republic USM.

Beliau turut menasihati para pengkarya, pengajar dan pembaca agar terus memartabatkan kesusasteraan sebagai wadah ilmu, pemikiran dan pembentukan jati diri bangsa.

Majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) ke-2 tahun ini menyaksikan seramai 13 penerima menerima pelbagai bentuk pengiktirafan dalam tiga kategori utama, iaitu Buku Sastera Dewasa, Karya Eceran, serta Buku Sastera Kanak-kanak dan Remaja.

Selain itu, turut disampaikan tiga anugerah tertinggi iaitu Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang, Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang dan Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh, sambil menyifatkannya sebagai bukti keunggulan tokoh ilmuwan USM yang sentiasa menjulang ilmu dan budaya bangsa.

“USM amat berbangga dengan pencapaian Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh yang bukan sahaja mengharumkan nama universiti, tetapi turut menyerlahkan peranan ilmu kesusasteraan dalam membentuk pemikiran dan peradaban bangsa,” ujar beliau.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mengangkat karya ilmiah dan sastera sebagai wahana pembangunan insan yang seimbang, berilmu dan berjati diri,” tambah beliau lagi.

Majlis berprestij itu turut dihadiri tokoh akademik, sasterawan dan penggiat budaya dari seluruh negara, sekali gus menjadikan ASNPP ke-2 wadah penting dalam memperkukuh peranan sastera sebagai cerminan jiwa bangsa.

Penganjuran dwitahunan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai usaha berterusan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di negeri ini.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 352

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025