USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGORBANAN BANTU KEJAYAAN

DSC 0166ju

PULAU PINANG, 24 September 2013 – Pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak tidak ternilai harganya. Sejak kita dilahirkan sehingga ke hembusan nafas yang terakhir, taat setia dan kasih sayang kepada mereka harus dicurahkan ke maksimum mungkin.

Begitu dengan pengorbanan warga emas, Mat Taib Husin, 66 yang berkorban bagi memastikan anak beliau, mendapat pendidikan yang sempurna. Beliau menyambung pengajian di Tingkatan Satu pada usia 24 tahun setelah mendapat pekerjaan tetap di Lembaga Pelabuhan Klang, Klang, Selangor.

Namun, dengan semangat dan kegigihan untuk menuntut ilmu beliau berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera walaupun terpaksa mengharungi status sebagai pelajar jarak jauh selama tujuh tahun.

DSC 0238

“Walaupun mengambil masa yang lama, pak cik berasa sangat bersyukur kerana berjaya mencapai cita-cita pak cik. Pak cik ucapkan terima kasih kepada isteri pak cik, Maznah Bahari, 58 kerana banyak membantu dan juga berkorban bagi melihat pak cik menggengam segulung ijazah seperti anak pak cik,” kata Mat Taib selepas majlis konvokesyen ke-48 di Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.

Menurut beliau, usaha dan doa yang tidak pernah jemu adalah satu rahsia kejayaan. Oleh kerana terpaksa belajar sendiri, saya banyak membaca artikel dan makalah akademik dan sosial bagi menambahkan ilmu pengetahuan.

“Untung saya seorang penjual kitab dan bahan bacaan ilmiah, mudah bagi saya mendapatkan bahan rujukan dan juga mengisi masa terluang dengan membaca,” kata Mat Taib yang terpaksa meninggalkan isteri selama tiga minggu pada setiap semester bagi ke Pulau Pinang untuk kelas induksi kerana anak tunggal beliau, Mazlia Aini mengajar di Kuala Lumpur.

“Saya rasa amat berbangga dengan pencapaian anak saya dan semangat beliau jugalah yang membantu saya untuk terus berjuang menuntut ilmu pengetahuan serta merasakan usia bukan penghalang bagi mencapai kejayaan,” tambah Mat taib.

DSC 0629

Turut meraikan kejayaan sebagai graduan ialah pasangan ibu dan anak iaitu Azima Hassan,50 dan juga Ainur Natasha Ruslan,25 masing-masing dalam bidang Pengurusan dan juga Komunikasi.

Azima adalah Penyelia Jururawat di Pusat Sejahtera USM manakala Ainur sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Pusat Pengajian Komunikasi USM dalam bidang Komunikasi Umum.

"Semangat anak-anak adalah pendorong kepada kejayaan saya menghabiskan empat tahun pembelajaran secara jarak jauh. Tidak lupa juga pengorbanan suami, Ruslan Harun menguruskan anak-anak semasa saya menuntut ilmu,” kata Azima yang mempunyai lima orang anak dan anak kedua sedang menuntut di tahun dua, jurusan perubatan di USM Kubang Kerian, Kelantan.

DSC 0646

“Saya rasa sungguh berbangga dan menjadikan emak sebagai role model. Dapat bergraduasi pada masa yang sama adalah satu bonus dan menganggap sabagai kejayaan berganda,” tambah Ainur. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1618

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024