PROGRAM SATU PEMIMPIN SATU KAMPUNG (SANTUNI MADANI): TIPS AKHIR MENJELANG SPM 2025 OLEH USM

USM PULAU PINANG, 10 November 2025 – Seperti tahun sebelumnya, program yang dilaksanakan oleh pasukan Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Jamek Sungai Gelugor, Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya.
Edisi tahun ini, program yang sama diadakan pada Sabtu, 8 November 2025, bertempat di bangunan tambahan masjid yang lengkap dengan bilik darjah berhawa dingin dan fasiliti sokongan lain yang mencukupi.
Seramai lebih kurang 30 peserta dari kawasan Kg. Melayu Air Itam serta peserta tambahan dari Sungai Gelugor, Taman Sardon dan Sungai Nibong menyertai program “Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani)” yang memberi fokus kepada Tips Akhir Menjelang SPM 2025, dianjurkan sepanjang hari.

Program ini bertujuan memberikan motivasi, panduan dan sokongan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang peperiksaan bertulis yang dijadualkan dari 25 November hingga 23 Disember 2025, melibatkan seramai 413,372 calon di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.
Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti utama termasuk ceramah motivasi dan aktiviti 'hands-on', sesi interaksi bersama kaunselor serta 'student buddies' USM, tips akhir pengurusan masa, pengendalian stres, kaedah penggunaan nota rujukan secara efektif serta doa khas oleh Ustaz bertugas, Al Fadhil Yanni untuk meningkatkan keyakinan dan kejayaan peserta.
Program turut mengikuti perkongsian daripada guru pakar SPM mengenai teknik menjawab peperiksaan, diikuti penyerahan cenderahati dan peralatan peperiksaan seperti pensel, pen, pemadam serta kad ucapan khas daripada Naib Canselor USM.

Sesi bergambar berkumpulan, jamuan ringan dan makan tengah hari turut disediakan sepanjang hari, menambah suasana mesra, kasih sayang dan bersemangat.
Para peserta menyatakan bahawa mereka berasa dihargai dan disokong sepanjang waktu program.
Menurut Penyelaras Program, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, pihak masjid telah memberikan sokongan logistik yang cemerlang, memastikan program berjalan lancar.
Beliau menambah bahawa tenaga pengajar dan staf USM dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) serta Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah berjaya menyampaikan ilmu, panduan dan nasihat secara berkesan, manakala guru pakar memberikan pandangan serta melayani soalan-soalan kritikal daripada peserta.
Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pasukan Pejabat Naib Canselor (PNC) USM, PPIP USM, BJIM USM serta pihak Masjid Jamek Sungai Gelugor, termasuk pengerusi, Tuan Haji Rosli dan seluruh jawatankuasa masjid.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, selaku Ketua Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani), menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama bermakna daripada semua pihak dan menyatakan:
"Inisiatif seperti ini selari dengan komitmen USM untuk menyokong pembangunan pelajar secara holistik. Baik dari segi akademik, aspek motivasi, kerohanian dan kemahiran menghadapi peperiksaan turut dititikberatkan. Semoga peserta SPM 2025 dapat memanfaatkan ilmu dan panduan yang diberikan serta menduduki peperiksaan dengan penuh keyakinan dan cemerlang."
Inisiatif ini menampakkan keprihatinan USM terhadap kesejahteraan dan kejayaan pelajar, dari segi akademik serta juga aspek motivasi, kerohanian dan kemahiran menghadapi cabaran. Program seperti ini membina keyakinan diri, disiplin, daya saing serta kemampuan untuk mengurus masa dan tekanan dengan lebih berkesan.
Dengan bimbingan yang holistik dan sokongan berterusan, para pelajar didorong untuk menjadi generasi muda yang cemerlang, bertanggungjawab, beretika dan berorientasikan masa depan yang mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara.
Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Penyelaras Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani)
- Created on .
- Hits: 245