9th GLOBAL HIGHER EDUCATION FORUM 2025 (GHEF 2025): TRANSFORMASI MASA DEPAN PENDIDIKAN TINGGI DALAM ERA KECERDASAN BUATAN
PUTRAJAYA, 5 November 2025 – Global Higher Education Forum (GHEF) merupakan “signature programme” Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilaksanakan secara dwitahunan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah pengurusan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) bagi memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi di peringkat global.

Forum ini berperanan sebagai platform berprestij yang menghimpunkan pakar dan pelbagai pemegang taruh termasuk ahli akademik, penyelidik, pembuat dasar, pelajar, pihak industri serta korporat dari dalam dan luar negara.
Bertemakan “Forging AI Horizon in Higher Education”, edisi ke-9 GHEF 2025 menumpukan perbincangan global berkaitan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkehadapan (frontier technologies) dalam memperkukuh inovasi sistem pembelajaran, penyelidikan, serta tadbir urus institusi pendidikan tinggi.
Tema ini seiring dengan aspirasi transformasi digital pendidikan tinggi negara.
GHEF 2025 menyediakan medan strategik untuk membincangkan isu, peluang dan cabaran hasil daripada revolusi AI, di samping memperkukuh kolaborasi antarabangsa dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mampan.
Forum ini menghimpunkan 16 pakar dan pengamal terkemuka dari pelbagai institusi di Malaysia dan luar negara termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Sepanyol, Hong Kong, India, Singapura dan Thailand.
Melalui empat sesi ucaptama dan empat forum utama, perbincangan berfokus kepada peranan AI dalam pembangunan sosial dan nilai kemanusiaan, kemajuan ekonomi, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dan juga kelestarian alam sekitar.
Selain itu, GHEF 2025 turut membuka ruang ilmiah melalui pembentangan hampir 200 kertas kerja oleh sarjana dan pengamal dari pelbagai negara. Sesi ini menjadi wadah penting untuk perkongsian ilmu, penemuan baharu serta inovasi dalam bidang AI dan pendidikan tinggi.
Hasil pembentangan akan diterbitkan dalam jurnal berindeks Scopus dan MyCite, sekali gus memperkukuh sumbangan Malaysia terhadap pembangunan korpus pengetahuan global.
Forum ini turut menampilkan Pameran AI, yang memperlihatkan pelbagai aplikasi, teknologi dan penyelesaian pintar dalam pendidikan, penyelidikan serta pembangunan masyarakat.
Penganjuran GHEF 2025 yang berlangsung bersempena Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Empat ucaptama utama menampilkan tokoh global yang membincangkan peranan AI dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi dan pembangunan mampan.
Antaranya:
- Mr. Rob Smith (Microsoft Singapore) menerusi tajuk “AI, Digital Equity, and Institutional Resilience in Higher Education” yang mengupas isu keadilan digital dan ketahanan institusi;
- Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah (Sunway Group) dengan “From Giving to Impact”, menyoroti peranan filantropi dan kerjasama strategik dalam memperkasa pendidikan berkualiti;
- Mr. Jake Xue (Ant International) yang membincangkan “AI-Driven Digital Economy”; dan
- Prof. Dr. Jeffrey D. Sachs (Columbia University) yang menekankan kepentingan “Emerging Frontier Technologies” dalam menyokong agenda kelestarian global.
Forum kali ini menampilkan empat sesi utama, menumpukan kepada dasar dan tadbir urus, keselamatan siber, pembangunan bakat dan TVET. Salah satu sesi tumpuan, “AI and Future-Proofing TVET: Upskilling and Reskilling”, menampilkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, sebagai Lead Discussant, bersama panel tempatan dan antarabangsa termasuk Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong; Antonio Fernández Pérez, Seabery (Sepanyol); Dr. Margarita Pavlova, UNEVOC Centre, Hong Kong; dan Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, German-Malaysian Institute (GMI).
Sebelum majlis penutup GHEF 2025, Pengarah IPPTN, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee menyampaikan ringkasan eksekutif forum tiga hari tersebut. Dalam ucapan penutup, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor USM menekankan:
“GHEF 2025 mampu mencetuskan wacana ilmiah berimpak tinggi, selain menyemarakkan komitmen untuk membentuk masa depan AI yang beretika, berpusatkan nilai kemanusiaan, dan lestari.”
Penganjuran GHEF 2025 berjaya menjadi platform strategik USM untuk memperkukuh dasar, tadbir urus dan ekosistem AI negara. Forum ini menghubungkan akademia, industri dan pembuat dasar, sekaligus memacu transformasi pendidikan tinggi yang inklusif, inovatif dan berdaya saing.
“Pada pandangan saya, GHEF 2025 telah berjaya menunjukkan kemampuan penyelidik dan pensyarah USM sebagai pencipta inovasi, bersedia berkongsi ilmu untuk manfaat masyarakat. Ia sejajar dengan aspirasi negara melalui pendidikan tinggi berteraskan AI yang dapat dimanfaatkan bersama walaupun ianya amat mencabar,” ujar beliau.
Melalui sinergi global yang terjalin, GHEF 2025 menjadi pemangkin ke arah masa depan pendidikan tinggi yang lestari, beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan yang murni.
Teks & Foto: Kementerian Pendidikan Tinggi /Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
- Created on .
- Hits: 314