BLACK SOLDIER FLY (BSF) DI FESTIVAL IDEA (FOI) PUTRAJAYA 2025: INOVASI USM DALAM PENGURUSAN SISA MAKANAN DAN BAJA ORGANIK
PUTRAJAYA, 4 November 2025 – Pengurusan sisa makanan yang tidak teratur boleh mencemarkan air dan alam sekitar. Cecair daripada tapak pelupusan meresap ke tanah dan sungai, manakala pereputan tanpa oksigen menghasilkan gas metana, gas rumah hijau yang lebih kuat daripada karbon dioksida.

Universiti Sains Malaysia (USM) kini menggunakan Black Soldier Fly (BSF, Hermetia illucens) untuk menguraikan sisa makanan dengan cepat, efektif dan mesra alam. Projek komuniti di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ini juga mampu menjana nilai ekonomi melalui penghasilan makanan haiwan dan baja organik daripada sisa makanan.

Black Soldier Fly (BSF): Biologi dan Kepentingan Ekologi
BSF atau lalat askar hitam merupakan serangga daripada order Diptera dan famili Stratiomyidae. Spesies ini berasal dari Amerika tetapi kini tersebar di negara tropika dan beriklim sederhana, termasuk Malaysia.
BSF mempunyai kitar hidup lengkap (complete metamorphosis) yang merangkumi telur, larva, pra-pupa, pupa dan lalat dewasa. Seekor betina dewasa boleh menghasilkan 500–900 telur, dengan hayat dewasa yang singkat sekitar 7 hari. Kitar hidup penuh BSF mengambil masa 45–55 hari bergantung kepada suhu, kelembapan dan cahaya.
Berbeza dengan lalat rumah (Musca domestica) yang boleh membawa penyakit, lalat dewasa BSF tidak mempunyai bahagian mulut yang berfungsi dan tidak memakan makanan manusia. Ini menjadikannya serangga bukan perosak dan selamat untuk manusia. Malah, BSF memainkan peranan penting sebagai agen pengurai semula jadi, membantu menguraikan sisa organik dalam ekosistem.
Black Soldier Fly (BSF): Agen Semula Jadi Pengurai Sisa Organik
Larva BSF mempunyai keupayaan luar biasa untuk menguraikan pelbagai jenis sisa organik dengan cepat dan efisien. Namun demikian, jenis sisa yang digunakan perlu sesuai bagi memastikan pertumbuhan larva yang optimum. Antara sisa yang sesuai termasuk sisa makanan dari kafeteria, restoran dan hotel, sisa mentah dari pasar, rumah sembelihan, industri agro serta najis haiwan.

Proses penguraian dan penukaran biojisim ini dibantu oleh mikroorganisma simbiotik yang mencernakan struktur sel bahan organik, membolehkan nutrien diserap terus oleh larva BSF. Walau bagaimanapun, jika sisa mentah belum dimasak digunakan, tempoh perkembangan larva menjadi lebih panjang dan jisimnya berkurang.
Pada peringkat larva, BSF mampu menguraikan hampir semua bahan organik termasuk sisa makanan, pertanian, najis haiwan, bangkai, malah mayat manusia. Ia mudah membiak di kawasan yang kaya bahan organik, menjadikannya agen semula jadi yang sangat berkesan dalam pengurusan sisa.
Sisa organik yang digunakan mestilah bebas daripada bahan kimia berbahaya seperti pestisid, sabun pencuci atau bahan berasid, manakala plastik perlu diasingkan. Pengisaran sisa kepada saiz kecil (1–2 cm diameter) serta kelembapan sekitar 70–80% membantu mempercepatkan proses penguraian.
Selepas larva bertukar kepada pra-pupa, peringkat ini boleh dituai dan dijadikan makanan ternakan seperti ayam, ikan dan haiwan peliharaan. Larva dan pra-pupa BSF kini dikomersialkan sebagai sumber protein utama dalam industri penternakan dan akuakultur.
Untuk mengekalkan koloni, kira-kira 50% daripada larva perlu dibiarkan berkembang ke peringkat dewasa bagi penghasilan telur baharu. Teknologi BSF ini bukan sahaja mesra alam dan menjimatkan tenaga, malah mampu mengurangkan bau dengan lebih berkesan berbanding kaedah konvensional. Pendekatan ini merupakan penyelesaian lestari dan inovatif dalam pengurusan sisa makanan serta penghasilan makanan ternakan berkualiti tinggi.
Inovasi Sosial USM melalui Black Soldier Fly (BSF)
Projek inovasi sosial oleh penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM memperkenalkan penggunaan larva BSF sebagai pendekatan lestari untuk menangani isu sisa makanan. Melalui kolaborasi yang telah dilaksanakan bersama komuniti di Tasek Gelugor, sisa organik dikumpul dan diproses menggunakan larva BSF bagi menghasilkan makanan haiwan berprotein tinggi serta baja organik yang mesra alam.
Inisiatif ini berjaya membantu mengurangkan pencemaran dan jumlah sisa makanan, serta turut menyokong ekonomi komuniti setempat melalui penyediaan sumber alternatif yang bernilai. Penternak dan petani menerima manfaat secara langsung dalam bentuk penjimatan kos makanan ternakan serta peningkatan hasil tanaman.
Produk yang dihasilkan, termasuk makanan haiwan berprotein tinggi dan baja organik, digunakan oleh peserta untuk kegunaan sendiri atau dijual bagi menambah pendapatan. Projek ini turut diperluas melalui penambahbaikan aspek pembungkusan dan strategi pemasaran, termasuk jualan terus serta penggunaan platform dalam talian, sejajar dengan usaha USM memperkukuh keusahawanan sosial dan kelestarian komuniti.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, merakamkan penghargaan kepada penyelidik utama, Dr. Hadura Abu Hasan, serta pasukan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjayakan inisiatif ini.
“Projek seperti ini membuktikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di USM mampu diterjemahkan menjadi solusi praktikal yang membawa manfaat terus kepada masyarakat. Ini menunjukkan semangat keusahawanan sosial dan kelestarian yang menjadi tunjang kepada misi Universiti sebagai Peneraju Kecemerlangan dan Kelestarian Sejagat,” ujar beliau.
Projek ini menjadi contoh terbaik bagaimana penyelidikan dan inovasi universiti dapat memberi impak positif kepada masyarakat, sambil menyokong agenda kelestarian dan pembangunan komuniti yang mampan.
Teks: Dr. Hadura Abu Hasan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia /Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
- Created on .
- Hits: 638