FOI 2025: USM PAMERKAN PROJEK PEMBANGUNAN PRODUK RAMBUTAN TINGKATKAN EKONOMI KOMUNITI B40
PUTRAJAYA, 4 November – Projek Pembangunan Produk Rambutan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilaksanakan di Daerah Sik, Kedah, melibatkan lima peserta daripada golongan B40.

Projek ini bertujuan melengkapkan komuniti dengan kemahiran, pengetahuan, sokongan kewangan dan pengurusan untuk membuka peluang ekonomi melalui penubuhan Syarikat Moktan Sik Enterprise yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan rambutan.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Kedah merupakan negeri kedua terbesar dalam pengeluaran rambutan, manakala penggunaan per kapita menunjukkan rakyat Malaysia mengambil sebanyak 1.6 kg rambutan seorang setahun pada tahun 2019.
Kadar Sara Diri (SSR) rambutan di negeri ini juga melebihi 100%, menunjukkan lambakan hasil pertanian yang tinggi.
Projek ini dilaksanakan bagi menangani isu lambakan rambutan serta menyediakan alternatif penjanaan pendapatan kepada komuniti B40. Hasilnya, tiga produk hiliran telah berjaya dihasilkan: jem rambutan, kepingan jem rambutan dan kandi rambutan, yang tahan lama, mudah digunakan dan direka dengan konsep moden.
Daerah Sik dipilih kerana ia antara pengeluar rambutan tertinggi di Kedah serta mempunyai bilangan penduduk miskin dan miskin tegar yang tinggi, menjadikannya lokasi strategik bagi projek berimpak sosial seperti ini.
Festival Idea Putrajaya (FOI 2025) menjadi platform utama untuk mempamerkan projek ini, menonjolkan keupayaan USM dalam menyepadukan penyelidikan, inovasi dan pembangunan komuniti, serta memperkukuh hubungan antara universiti, industri dan masyarakat.
“Projek seperti pembangunan produk rambutan menunjukkan bahawa para pensyarah dan penyelidik USM sentiasa dalam mod mencipta inovasi, serta turut berkongsi ilmu untuk kebaikan masyarakat. Inisiatif ini menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG), khususnya dalam meningkatkan ekonomi komuniti, memanfaatkan sumber pertanian secara lestari dan memperkukuh keselamatan makanan tempatan,” ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Melalui projek ini, USM terus membuktikan komitmen dalam menjana impak nyata melalui penyelidikan berasaskan komuniti, memupuk ekonomi lestari, serta memperluas capaian produk hiliran berasaskan pertanian tempatan ke pasaran lebih luas.
Teks: Dr. Syahariza Zainul Abidin, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
- Created on .
- Hits: 87