USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL SISTEM KEIFH DI FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025, INOVASI PEMANTAUAN KUALITI MADU KELULUT UNTUK KESEJAHTERAAN SOSIAL

PUTRAJAYA, 4 November 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai peneraju inovasi nasional apabila memperkenalkan Kelulut Essential Indicator of Fresh Honey (KEIFh System) sempena Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 4 hingga 8 November 2025.

USM 3808 2

Inovasi ini mewakili usaha penyelidik USM dalam memastikan kualiti dan ketulenan madu kelulut dikawal secara saintifik, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi komuniti dan kelestarian sumber alam.

USM 3621 2

Sistem KEIFh direka bentuk sebagai sistem saringan holistik yang berfungsi menilai kesegaran dan kualiti madu kelulut yang dikumpul daripada komuniti penternak.

Melalui penggunaan indikator biokimia, sistem ini mampu mengesan tahap kesegaran, ketulenan serta kestabilan madu berbanding kaedah konvensional.

Inovasi ini turut menjadi komponen utama dalam rantaian bekalan madu jenama Brainey, sebuah syarikat 'spin-off' USM yang mengkomersialkan produk madu kelulut berasaskan penyelidikan.

Madu yang dipantau melalui KEIFh System akan disahkan mutunya sebelum dipasarkan, sekaligus menjamin kepercayaan pengguna dan menambah nilai pasaran produk tempatan.

Menurut penyelidik utama projek, Dr. Zulkifli Mustafa, sistem KEIFh bukan sekadar alat kawalan mutu tetapi juga platform pemberdayaan komuniti.

“Kami membangunkan KEIFh bagi memastikan setiap titis madu kelulut daripada komuniti memenuhi piawaian saintifik yang tinggi. Ini akan meningkatkan kepercayaan pasaran terhadap madu kelulut tempatan, selain memberi nilai tambah ekonomi kepada komuniti penternak yang berkolaborasi bersama Brainey,” ujar beliau.

FOI 2025 menghimpunkan pelbagai institusi penyelidikan dan agensi inovasi negara, menjadi platform utama untuk menonjolkan keupayaan penyelidik tempatan menyalurkan hasil makmal ke pasaran serta memperkukuh jaringan antara universiti, industri dan masyarakat.

Melalui pameran Sistem KEIFh, USM terus menegaskan komitmen dalam menterjemahkan inovasi berasaskan penyelidikan kepada impak nyata terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi lestari.

“Inovasi seperti KEIFh membuktikan bahawa penyelidik USM mencipta teknologi, di samping berkongsi ilmu untuk kebaikan masyarakat. Projek ini menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) melalui peningkatan ekonomi komuniti, keselamatan makanan dan kelestarian sumber,” kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Teks: Dr. Mohd Zulkifli Mustafa Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 105

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025