SAYANGI USM: IMPAK APEX DAN RU KEPADA GRADUAN
PULAU PINANG, 22 Sept. 2013 - Para graduan diseru untuk sentiasa menyayangi Universiti Sains Malaysia (USM) dan menghargai impak daripada pencapaiannya sejak menjadi Universiti Penyelidikan (RU) dan menjalani Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) sejak 2008.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, graduan perlu menyedari dan memahami signifikannya pencapaian kedua-dua program tersebut dalam proses pembinaan modal insan dan keperluan masa depan negara.
USM telah mula mengeluarkan siswazah ijazah tinggi pertama dengan hanya seorang graduan pada tahun 1973 dan sehingga kini jumlah tersebut telah melonjak kepada angka 23,000. Pertambahan paling ketara dilihat selepas pengenalan RU dan juga APEX.
Katanya, pencapaian yang ada perlu dirasai dan dikongsi bersama selaras dengan usaha untuk sama-sama membantu menyumbang dalam proses pembangunan dan penyediaan tenaga pakar dan modal insan terlatih.
`` Adalah penting bagi kita untuk menyertai komuniti akademia dan ilmuwan dalam global k-society untuk bersaing dalam merebut peluang ekonomi dan kekayaan sejagat yang dapat membantu menjayakan aspirasi negara.
``Ia boleh dicapai dengan berkongsi nilai-nilai bersama sebagai satu teras pembangunan masyarakat seluruhnya. Pengeluaran kumpulan masyarakat berilmu termasuk saudara-saudari harus dilihat dalam konteks yang lebih luas, untuk negara menghadapi persaingan sejagat yang semakin sengit dan pantas berubah,’’ ujarnya.
Omar berkata demikian dalam ucapan pada sidang terakhir Upacara Konvokesyen ke-48 USM yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, graduan turut disaran supaya dapat memaknakan kejayaan yang dikecapi sekaligus berupaya pula untuk menyumbang kepada pembangunan dalam memperkukuh pencapaian Universiti dan negara.
Katanya, sebagai kelompok insan berilmu, para graduan perlu sentiasa peka tentang peranan dan amanah yang ada dalam hal-hal yang berkait dengan alam, manusia dan kemanusiaan serta kehidupan seluruhnya.
``Diharapkan nilai-nilai yang kita semaikan di menara ilmu ini dapat menyumbang kepada kreativiti dan inovasi yang dapat menghasilkan produk dan dapatan baharu untuk peningkatan kualiti hidup masyarakat dan dunia seluruhnya dalam konteks ilmu.
``Dengan nilai yang ada juga, para graduan diharap mampu menjana kekayaan secara adil dan saksama, menghormati hak manusia dan tahu bagaimana untuk membangunkan peluang-peluang baharu untuk diterokai lebih jauh lagi,’’ ujarnya.
Tambah beliau, graduan yang kini bergelar alumni turut diharap supaya dapat meneruskan tradisi ilmuwan yang melihat dunianya dalam kerangka pemikiran yang lebih luas dan terbuka sebagai seorang yang datang dari sebuah universiti.
``Bercakaplah dengan data dan fakta. Bukan hanya dari satu perspektif sendiri tetapi dalam konteks yang lebih terbuka, pemikiran yang tidak terikat dengan hanya nilai sendiri dan sedia ada.
``Kita perlu juga bersedia menerima, menghormati kepelbagaian dan dapat menjadi sebahagian daripada anggota yang dapat bergerak aktif sebagai agen perubahan secara berterusan,’’ ujarnya di hadapan kira-kira 800 graduan di sini. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1330