USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BIO-NUTRI-MM: MAKMAL MAYA BERINTEGRASI AI TINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR DALAM PENDIDIKAN STEM

PUTRAJAYA, 7 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menonjol sebagai peneraju inovasi pendidikan melalui BioNutri-MM, sebuah makmal maya pintar berintegrasi kecerdasan buatan (AI) yang merevolusikan pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

MFD 1358 2

Projek ini dipamerkan di Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI 2025), menyediakan platform interaktif yang membolehkan pelajar menjalankan eksperimen biologi secara maya sambil menerima bimbingan dan maklum balas adaptif daripada AI, sekali gus meningkatkan pencapaian dan pemahaman mereka dalam subjek sains dengan lebih berkesan.

MFD 1119

Projek ini telah berjaya dibangunkan oleh pasukan penyelidik diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Asniza Ishak, bersama ahli pasukannya, Dr. Muaz Mohd Zaini Makhtar, Dr. Rafiza Rosli dan pelajar Tahun 3 Program Sains dengan Pendidikan, Ku Muhammad Danish Ku Mohd Kamal dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP).

MFD_1107.jpg

BioNutri-MM merupakan inovasi makmal maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pelajar menjalankan eksperimen biologi tanpa memerlukan sebarang peralatan atau bahan fizikal.

Dibangunkan menggunakan teknologi 3D desktop melalui platform Unity, sistem ini menawarkan persekitaran pembelajaran yang interaktif dan realistik, khusus untuk topik Pemakanan dan Sistem Pencernaan Manusia dalam sukatan pelajaran Biologi, Tingkatan Empat, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Keistimewaan BioNutri-MM terletak pada integrasi AI yang menyediakan bimbingan peribadi, maklum balas adaptif serta sokongan pintar sepanjang pelaksanaan eksperimen.

Sistem ini juga mampu menganalisis prestasi pelajar secara masa nyata, menyesuaikan tahap kesukaran pembelajaran dan mencadangkan penambahbaikan mengikut keperluan individu, sekaligus memastikan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan dan efektif.

Dengan ciri-ciri seperti simulasi 3D, animasi interaktif dan multimedia pendidikan, BioNutri-MM bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, malah membina pengalaman imersif yang mendorong pelajar untuk belajar secara aktif dan kendiri.

Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong agenda nasional dalam memperkukuh pendidikan STEM serta menyediakan generasi pelajar yang lebih celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Projek ini dipamerkan secara fizikal di FOI 2025, memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengalami sendiri penggunaan makmal maya berintegrasi kecerdasan buatan, sekaligus menandakan langkah penting dalam transformasi digital pendidikan sains di Malaysia.

Teks: Prof. Madya Dr. Nor Asniza Ishak, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 183

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025