USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL TEKNOLOGI PEMPROSESAN TEKANAN TINGGI UNTUK KESELAMATAN DAN KESEGARAN TIRAM DI PAMERAN FOI 2025 PUTRAJAYA

PUTRAJAYA, 4 November – Perubahan iklim kini meningkatkan risiko pencemaran terhadap makanan laut, khususnya kerang-kerangan. Menyedari cabaran ini, penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inovasi baharu bagi memastikan keselamatan dan kelestarian makanan laut di Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI 2025).

 MFD 9233 2

Inisiatif ini diketuai oleh Dr. Musfirah Zulkurnain dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM dan pasukan penyelidiknya. Mereka memperkenalkan sistem penapisan keselamatan biobath menggunakan teknologi pengurangan ozon, yang mampu mengurangkan risiko pencemaran dalam persekitaran akuakultur.

MFD 8906 2

Menurut Dr. Musfirah, penternakan tiram adalah satu model kesihatan planet yang mampu memulihkan ekosistem marin, selain menyokong keselamatan makanan global. Beliau mencontohi Langkawi Oyster Farm sebagai peneraju perubahan yang memacu akuakultur mampan melalui pendekatan teknousahawan dan teknologi baharu.

MFD 2547 2

Pasukan USM juga memperkenalkan Pemprosesan Tekanan Tinggi ( High Pressure Processing, HPP ) bagi meleraikan cangkerang tiram secara automatik dalam kuantiti besar. Dalam proses ini, tiram dibungkus terlebih dahulu, kemudian dikenakan tekanan 300 MPa selama tiga minit, menghasilkan tiram yang lebih gebu, mengekalkan 100% hasil isi dan kesegaran semula jadi.

Kajian ini turut menetapkan Standard Operating Procedure (SOP) bagi penggunaan HPP dalam pemprosesan makanan laut. Untuk memperluas aplikasi industri, USM menganjurkan latihan amali kepada 20 peserta dari pelbagai rantaian bekalan makanan laut, memberikan pendedahan tentang operasi HPP dan manfaat dari segi hasil, kesegaran dan keselamatan produk.

“Para pensyarah dan penyelidik USM sentiasa berkongsi ilmu untuk kebaikan masyarakat. Projek ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan kelestarian makanan laut, tetapi juga menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) melalui inovasi dan teknologi yang memberi impak kepada komuniti dan industri,” ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Inovasi ini menandakan satu langkah penting ke arah penghasilan makanan laut yang selamat dan mampan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi akuakultur berimpak tinggi.

Teks:
Dr. Musfirah Zulkurnain
Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia 

Suntingan:
Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail
Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 107

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025