PUSAT ARKEOLOGI USM TONJOL TEKNOLOGI 3D DALAM PEMULIHARAAN WARISAN DI FOI PUTRAJAYA 2025
PUTRAJAYA, 7 November 2025 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) menarik perhatian pengunjung di Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 melalui pameran bertemakan “Reviving Heritage Through Technology” yang mempamerkan inovasi dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan warisan arkeologi negara.

Pameran ini bertujuan untuk berkongsi penemuan arkeologi terkini di Tapak Candi Bukit Choras, Yan, Kedah termasuk penemuan arca Buddha yang kini telah rosak sebahagiannya, khususnya kehilangan bahagian kepala yang penting kepada nilai sejarah dan penyelidikan.

Melalui penggunaan teknologi pengimejan 3D beresolusi tinggi menggunakan Artec Spider 3D Scanner, pasukan penyelidik PPAG berjaya menghasilkan replika digital kepala arca Buddha secara tepat dan selamat tanpa menyentuh artifak asal.

Inovasi ini bukan sahaja membantu dalam proses pemuliharaan artifak secara maya, tetapi turut membolehkan penghasilan replika 3D bagi tujuan pameran, pendidikan serta interaksi awam melalui platform maya dan realiti tambahan (VR/AR).
Menurut penyelidik utama, projek ini memberi impak besar kepada pemuliharaan warisan negara dengan menyediakan kaedah baharu yang menyokong dokumentasi, analisis morfometrik dan pemantauan keadaan artifak dari semasa ke semasa.
Selain itu, penggunaan teknologi 3D ini memperkukuh penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan Quintuple Helix, termasuk kerajaan, akademia, industri, masyarakat dan alam sekitar – dalam memastikan warisan arkeologi terus dilindungi serta dihayati oleh generasi akan datang.
Inisiatif oleh PPAG ini seiring dengan komitmen USM sebagai universiti APEX yang menggabungkan penyelidikan, inovasi dan teknologi digital bagi memperkasakan pemuliharaan warisan serta memperluas capaian ilmu kepada masyarakat global.
Teks: Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 103