HPUSM RAIKAN WARISAN INOVASI ISLAM MELALUI PENYERTAAN DALAM PAMERAN 1001 INVENTIONS
PUTRAJAYA, 5 November 2025 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) amat berbangga dengan penyertaan dalam Pameran 1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Inventions, yang merupakan suatu visi yang dijemput secara eksklusif oleh DYMM Raja Permaisuri Agong.

Hasrat DYMM Raja Permaisuri Agong untuk menzahirkan buku “1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilisation” ke dalam bentuk pameran imersif yang dapat dihayati oleh para pengunjung kini telah berjaya direalisasikan.

Dalam usaha ini, HPUSM telah diberi mandat untuk mempersembahkan kepada pengunjung topik kelima daripada buku tersebut, iaitu Zon Hospital, yang mengetengahkan bagaimana konsep perubatan moden sebenarnya berakar dari perspektif dan tradisi Islam.

Konsep pameran ini menonjolkan kefahaman bahawa asas kepada ilmu perubatan dan penyembuhan dalam tamadun Islam bermula daripada nilai kasih sayang, keimanan serta tanggungjawab terhadap kesejahteraan manusia.

Ia bukan sekadar memperlihatkan kemajuan saintifik tetapi turut menyerlahkan roh kemanusiaan dan spiritual yang menjadi tunjang kepada amalan perubatan Islam yang berterusan hingga ke hari ini.
Kehebatan tokoh cendekiawan Islam juga dikongsikan di sini, antaranya kehebatan Ibnu Sina dalam pengkajian bidang anatomi dan fisiologi, al-Razi yang mengaplikasikan kaedah eksperimen dan pemerhatian yang teliti dalam penyelidikannya, juga al-Zahrawi sebagai Bapa Pembedahan Moden terutamanya dalam bidang neurosurgery atau bedah otak.
Sejarah agung ini memberi impak yang amat besar kepada perubatan moden, antara yang menjadi kebanggaan adalah khidmat perubatan yang ditawarkan oleh Hospital Pakar USM kini seperti rawatan Deep Brain Stimulation atau Terapi Otak Dalam, di mana prosedur pembedahan ini dilakukan secara sedar (awake surgery) dan hasil klinikal daripada rawatan ini dapat memberi manfaat yang besar kepada pesakit dari sudut kualiti hidup mereka.
Selain itu, diketengahkan juga beberapa khidmat perubatan seperti pembuatan implan mata, hidung dan telinga palsu, serta penggunaan mesin Automated Breast Ultrasound yang dapat membantu mengesan abnormaliti pada payudara dari awal dalam usaha mengesan barah payudara pada peringkat awal.
Pameran ini juga menjadi wadah penting untuk mengetengahkan status HPUSM sebagai hospital pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai Hospital Patuh Syariah. Pengiktirafan ini menyerlahkan komitmen HPUSM dalam mengintegrasikan nilai Islam ke dalam sistem perkhidmatan kesihatan yang holistik, beretika dan berasaskan kasih sayang.
Teks: Dr. Nurul Sakinah Zabidi Azhar, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 223