USM SERTAI MAJLIS PELUNCURAN HEIS DI FOI PUTRAJAYA, PERKUKUH PERANAN DALAM KONSORTIUM LOGISTIK NASIONAL
PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil bahagian dalam Majlis Peluncuran Higher Education Institutions-Industry Summit (HEIS) yang diadakan bersempena dengan Festival Idea (FOI) Putrajaya.

Majlis berprestij ini menjadi platform penting bagi memperkukuh jalinan strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan rakan industri, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan inovasi, keusahawanan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, serta turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Dalam majlis berkenaan, tiga Konsortium MRI3 baharu telah diumumkan penubuhannya iaitu Konsortium Automotif, Konsortium Logistik dan Konsortium Rel.

USM merupakan salah satu ahli Konsortium Logistik, yang penyertaannya dimeterai melalui Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung semasa acara tersebut.
Penyertaan USM dalam konsortium ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri, khususnya dalam bidang logistik ke arah memperkasa inovasi, pembangunan bakat dan penyelidikan berimpak tinggi selaras dengan agenda nasional.
Teks: Prof. Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil & Ts. Chm. Dr. Sumiyyah Sabar, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 125