USM PAMER KEPAKARAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI INDUSTRI DI FESTIVAL IDEA (FOI) PUTRAJAYA 2025
PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bersama Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) turut menyertai pameran Higher Education Institutions–Industry Summit (HEIS) sempena Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 dari 4 hingga 8 November 2025.

Penyertaan USM dalam FOI tahun ini menyerlahkan kepakaran penyelidik universiti dalam bidang kejuruteraan, nano optoelektronik dan teknologi mikroelektronik, di samping menampilkan hasil kerjasama strategik bersama rakan industri yang memberi impak langsung kepada pembangunan negara.

Sepanjang pameran tersebut, USM mempersembahkan pelbagai inovasi dan inisiatif kolaboratif yang mencerminkan sinergi kukuh antara akademia dan industri, termasuk:
- MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3) – platform latihan industri bersepadu antara universiti dan industri di bawah Konsortium Elektrik dan Elektronik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dipamerkan oleh BJIM;
- White LED for Smart Street Light – projek kerjasama INOR bersama SB Lighting Group;
- RF Energy Harvester Chip – projek CEDEC bersama CREST dan Filpal;
- Battery-Less Operating System for Digital Microfluidic Platform with Integrated Sensing – projek CEDEC bersama Infinecs;
- Software Prediction Development, Design of Experiment (DOE) for Laser Soldering Process dan SSD Thermal Solution – projek PPKM bersama SanDisk;
Penyertaan BJIM, CEDEC, INOR dan PPKM dalam FOI 2025 ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memacu sinergi akademia–industri berteraskan inovasi, teknologi hijau dan kemampanan, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI, National Semiconductor Strategy (NSS) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Melalui penglibatan ini, USM terus memperteguh peranannya sebagai Peneraju Transformasi untuk Kesejahteraan Sejagat (Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow), seiring dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi.

Teks: Prof. Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil & Ts. Chm. Dr. Sumiyyah Sabar, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 341