USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH PERANAN MAHASISWA DI FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA 2025

PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Seramai 329 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Festival Idea (FOI) 2025 yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 hingga 8 November 2025. Penyertaan ini melibatkan pelajar dari ketiga-tiga kampus USM iaitu 200 orang pelajar dari Kampus Induk, 49 orang pelajar dari Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, dan 80 orang pelajar dari Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan.

WhatsApp Image 2025 11 05 at 1.16.51 PM

FOI 2025 merupakan platform nasional yang mengumpulkan mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi bagi menonjolkan idea, inovasi dan pemikiran kreatif dalam bidang keusahawanan, teknologi, seni, reka bentuk sosial dan sains kemanusiaan.

Penyertaan pelajar USM dalam FOI 2025 mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan yang progresif, berdaya saing dan berpandangan global.

WhatsApp Image 2025 11 06 at 9.34.52 PM

Festival ini juga memperkukuh kemahiran komunikasi, kolaborasi antara disiplin dan semangat inovasi, seiring dengan falsafah universiti sebagai “Peneraju Kelestarian.”

Sepanjang festival ini berlangsung, pelajar USM turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti pameran projek inovasi, pertandingan idea, sesi wacana serta bengkel pembangunan kemahiran. Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada semua pelajar dan staf pengiring yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program ini.

WhatsApp Image 2025 11 05 at 1.16.50 PM

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, penyertaan aktif mahasiswa USM dalam FOI 2025 membuktikan keupayaan mereka untuk berfikir di luar sempadan dan mencipta impak bermakna kepada masyarakat. “Inilah cerminan sebenar aspirasi USM sebagai Peneraju Kelestarian, yang sentiasa melahirkan graduan yang cemerlang akademik, berjiwa pemimpin dan berorientasikan masa hadapan,” ujar beliau.

WhatsApp Image 2025 11 05 at 1.16.55 PM

Dua orang pelajar yang turut menyertai festival ini turut berkongsi pengalaman mereka. Teng Xiang Kang, pelajar tahun 2 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, menyatakan bahawa FOI 2025 memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dan mempelajari secara hands-on hasil inovasi menarik dan berimpak. Sementara itu, Nabilah Adibah Mohd Jamil, pelajar tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, berpendapat bahawa penglibatan pelajar dalam FOI 2025 membuka ruang networking dengan saintis tempatan secara lebih meluas dan menanam semangat kepada dirinya untuk terus maju dalam akademik dan penyelidikan serta menyumbang kepada masyarakat melalui idea dan inovasi pada masa depan.

Penyertaan pelajar dari tiga kampus utama USM ini telah mencerminkan semangat kesepaduan komuniti USM dalam mendukung agenda pembangunan modal insan yang berilmu, kreatif dan berbakti kepada masyarakat, seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan lestari.

WhatsApp Image 2025 11 05 at 1.16.54 PM

Sebagai penutup, USM menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak penganjur dan berharap pengalaman di FOI 2025 menjadi titik tolak kepada mahasiswa dan tenaga akademik untuk lebih beriltizam dalam memberikan sumbangan bermakna kepada universiti, negara dan masyarakat.

Teks: Ahmad Heidey Iskandar Mohd Rayhan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni & Muhammad Airul Afzan Azlan, Intern @ MPRC
Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 260

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025