USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KREATIVITI, INOVASI DAN DEDIKASI BAWA KEJAYAAN DR. NORAZZIZI NORDIN HARUMKAN NAMA USM DI AKRI 2025

024ac91d 1d24 4dfc a3e5 70763be24ed7

Putrajaya, 5 November 2025 – Menepati reputasinya sebagai universiti peneraju inovasi dan kecemerlangan akademik, Universiti Sains Malaysia (USM) terus mencipta sejarah apabila pensyarahnya, Dr. Norazzizi Nordin, diumum sebagai Johan Kategori Pengajaran Transformatif dalam Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025.

Anugerah berprestij tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, dalam satu majlis penuh berprestij yang telah berlangsung di The Everly Hotel, Putrajaya malam tadi. Kejayaan ini menandakan satu lagi detik penting bagi USM dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi yang menerajui transformasi pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.

39193c40 551a 4d96 9eba 629012df05a8 min

Majlis AKRI 2025 ini mengiktiraf kecemerlangan ahli akademik dari seluruh negara dalam memperkasa reka bentuk kurikulum dan kaedah penyampaian inovatif di institusi pengajian tinggi. Tahun ini, majlis penganugerahan AKRI diadakan bersempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025, yang meraikan kreativiti, penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan tinggi.

Kemenangan USM disumbangkan oleh inisiatif bertajuk “Transformasi Pengajaran Spektroskopi Melalui Pendekatan KoMPaS: Petunjuk ke Arah Pengajaran Bermakna dan Holistik”, hasil inovasi Dr. Norazzizi Nordin dari Pusat Pengajian Sains Kimia, USM. Pendekatan KoMPaS (Komunikasi, Makna, Penglibatan dan Sintesis) yang diperkenalkan beliau menekankan pembelajaran yang lebih interaktif dan reflektif, membolehkan pelajar memahami konsep sains secara mendalam dan mengaplikasikannya dalam konteks sebenar; suatu pendekatan yang menggabungkan teknologi, pedagogi dan nilai insaniah.

4a0eba1d 20ab 4d12 93e8 f2542b7a4008

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada Dr. Norazzizi atas sumbangan dan dedikasinya terhadap inovasi pengajaran.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi menunjukkan semangat inovatif dan komitmen seluruh warga akademik USM dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara. Pendekatan Dr. Norazzizi membuktikan bagaimana kreativiti dan sains boleh digabungkan untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan berkesan. Inilah roh sebenar universiti menjana ilmu secara realiti dalam memberi inspirasi dan menyemarakkan proses pengajaran dan pembelajaran,” ujar beliau.

Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman turut menambah bahawa kejayaan ini mengukuhkan peranan USM sebagai institusi peneraju dalam memperkenalkan amalan pengajaran terkini, berfokuskan pelajar serta seiring dengan transformasi digital dan keperluan industri global.

Anugerah AKRI 2025 mempertandingkan empat kategori utama: Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif (Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya, Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun (Blended) dan Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka). Setiap kategori memberi pengiktirafan kepada ahli akademik yang berjaya memperkenalkan pendekatan baharu yang berimpak dan lestari dalam pengajaran dan pembelajaran.

USM menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas inisiatif murni penganjuran AKRI yang terus menyemai budaya inovasi dalam kalangan warga akademik seluruh negara.

Sebagai universiti APEX yang berteraskan inovasi, USM melihat kemenangan ini sebagai dorongan untuk terus memperkukuh tradisi kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, serta memperluas pengaruhnya dalam memacu pendidikan tinggi negara ke arah masa depan yang inklusif, kreatif dan lestari.

“Setiap inovasi bermula dengan keberanian untuk mencuba. USM akan terus menjadi ruang yang menyuburkan keberanian itu, tempat lahirnya idea yang mengubah cara kita berfikir, belajar dan membina masa depan,” tambah Naib Canselor USM.

 

Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025