USM TERIMA 63 GERAN PENYELIDIKAN KPT: PERKUKUH PERANAN SEBAGAI UNIVERSITI PENYELIDIKAN NEGARA

PUTRAJAYA, 5 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan apabila sejumlah 63 projek penyelidikannya menerima Skim Geran Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2025.
Daripada jumlah tersebut, 55 projek menerima geran di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6,689,522, manakala lapan projek lagi di bawah Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dengan peruntukan sebanyak RM1,462,752.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan USM sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara, tetapi turut mencerminkan keupayaan dan komitmen tinggi warga akademiknya dalam melaksanakan penyelidikan yang berkualiti, berimpak tinggi dan menghasilkan penyelesaian berasaskan ilmu.
“Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik, tetapi juga hasil daripada budaya kerja berpasukan, sokongan padu daripada pengurusan tinggi Universiti dan jaringan kolaborasi yang kukuh bersama rakan industri serta institusi dalam dan luar negara.
“Ia turut mencerminkan kesungguhan warga USM dalam memastikan setiap inisiatif penyelidikan memberi impak sebenar kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau lanjut.
Beliau juga berkata, USM akan terus memperkukuh agenda penyelidikan yang berteraskan inovasi, kelestarian, dan tanggungjawab sosial, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“USM turut merakamkan penghargaan kepada KPT atas sokongan berterusan terhadap ekosistem penyelidikan universiti serta kepada para penyelidik yang terus berusaha gigih menghasilkan penemuan baharu yang dapat memacu inovasi, kelestarian, dan kemajuan masyarakat,” ujarnya lanjut.
Abdul Rahman berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyampaian Geran kepada penerima Skim Geran Penyelidikan di bawah Dana Penyelidikan Fundamental KPT yang diadakan bersempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025.
FOI adalah program berimpak tinggi anjuran KPT yang bertujuan merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara menyeluruh serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global.
Majlis tersebut turut menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan agensi kerajaan, seiring dengan aspirasi KPT untuk memperkasakan ekosistem penyelidikan nasional melalui perkongsian kepakaran dan sumber.
FOI 2025 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) juga menjadi platform dalam menghimpunkan para penyelidik dari pelbagai universiti awam dan institusi penyelidikan seluruh negara.
Teks: Irni Syuhada Ibrahim, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, USM/Suntingan: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 383