USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT-USM SEMARAK PINK OKTOBER: PERKASA KESEDARAN AWAL KANSER PAYUDARA BERSAMA KOMUNITI PULAU PINANG

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 19 Oktober 2025 – Bersempena dengan Bulan Pink Oktober yang memberi tumpuan kepada kesedaran dan pencegahan kanser payudara, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program KPT Prihatin MADANI: Program Kesihatan dan Kanser Payudara Bersama Komuniti Pulau Pinang (Siri II) bertempat di Mydin Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang.

Matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk memperkukuh kesedaran mengenai kanser payudara dan kepentingan saringan kesihatan, di samping menggabungkan elemen pendidikan STEM kepada anak-anak pesakit kanser.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah IPPT dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB), Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.

Menurut Bakiah, “Penganjuran program adalah selaras dengan aspirasi USM sebagai universiti APEX yang komited memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendidikan, literasi sains, dan kesedaran kesihatan.”

“Ia juga merupakan manifestasi komitmen IPPT-USM dalam menyokong inisiatif KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) serta misi Community Programme for Sustainable Impact,” katanya.

Antara pengisian utama program termasuk forum kesihatan bertajuk “Bersama Melawan Kanser: Harapan Kita, Kekuatan Komuniti,” pameran kesihatan yang turut disertai unit kanser wanita, unit radioterapi, unit pendidikan Kesihatan, dan unit paliatif PPUSMB serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO); saringan kesihatan dan kanser payudara; pertandingan mewarna kanak-kanak; serta slot perkongsian pengalaman bersama-sama pemandiri kanser (cancer survivors).

Forum kesihatan menampilkan Dr. Norhayati Yusop sebagai moderator bersama panel jemputan terdiri daripada Dr. Siti Noraini (Pakar Perubatan Dalaman, PPUSMB); Dr. Goh Hoe Eng (Pengarah Operasi, Yu Ran Care Retirement Centre Sdn. Bhd.); Amylia Natasha Aziz (pemandiri kanser payudara Tahap 4); dan Cikgu Azmi Azali (pemandiri kanser limfoma Tahap 4 yang kini berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, SK Sultan Mudzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah).

Para panel membincangkan isu kesedaran kanser payudara, pengalaman pesakit, serta sokongan yang disediakan oleh NGO dari aspek emosi dan kewangan.

Program tersebut turut menjadi platform berterusan bagi memperkukuh hubungan antara institusi akademik, sektor kesihatan, dan komuniti setempat sekali gus bertujuan meningkatkan kesedaran awal dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan pemeriksaan berkala.

Terdapat lebih 30 peserta yang menjalani saringan awal kanser payudara melalui perkhidmatan Klinik Bergerak PPUSMB dan sebanyak tiga kes untuk pemeriksaan susulan telah direkodkan sepanjang program berlangsung.

Pelaksanaan program tersebut sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3 – Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan) yang menggalakkan kepentingan penjagaan kesihatan yang adil dan berkualiti.

Bulan Pink Oktober merujuk kepada Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang disambut setiap tahun pada bulan Oktober untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara, mempromosikan pemeriksaan awal, dan menyokong mereka yang terkesan. 

Teks Nur Ibtisam Annisa Zainal Abidin & Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin/ Suntingan: Dr. Nor Effa Syazuli Zulkafli/ Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 52

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025