USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN UNIVERSITAS TEUKU UMAR PERKUKUH PENYELIDIKAN SERANTAU DALAM BIDANG BIODIVERSITI AKUATIK DAN PERIKANAN MAMPAN

 

eab66fe0-8069-4491-ae2d-4ad353456962.jpg

PULAU PINANG, 4 November 2025 – Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Fakulti Perikanan dan Sains Marin (FPIK), Universitas Teuku Umar (UTU), Indonesia, telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang biodiversiti akuatik, akuakultur dan penyelidikan perikanan mampan.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 107, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM ini menandakan satu langkah penting dalam memperluas jaringan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi serantau.

Melalui MoA tersebut, kedua-dua universiti akan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama termasuk projek penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar, serta perkongsian ilmu dalam bidang sains akuatik.

afdc14b3-e9de-4a45-8184-65b6af326959.jpg

Kerjasama ini berakar daripada projek persampelan biodiversiti bersama yang melibatkan ikan daripada keluarga Sciaenidae di perairan pantai Aceh, diketuai oleh Pensyarah USM, Dr. Norhafiz Hanafi Ahmad Shah bersama Dr. Munandar dari UTU.

Projek tersebut telah menghasilkan dapatan penting berkaitan taksonomi dan kepelbagaian genetik ikan “Gulama”, yang kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan jalinan akademik rasmi melalui MoA ini.

5f2447b2-4ef8-4c6a-92ef-c74dfed6ff61.jpg

Majlis penandatanganan disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, Profesor Madya Dr. Amir Hamzah Ahmad Ghazali, yang juga mewakili Naib Canselor USM, serta Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Marin UTU, Prof. Dr. Ir. Ismail Sulaiman, dengan kehadiran penyelidik, staf akademik dan pelajar pascasiswazah dari kedua-dua institusi.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Amir Hamzah menegaskan bahawa kerjasama ini selaras dengan komitmen USM terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14 – Kehidupan Di Bawah Air) dan visi APEX universiti, “Science for Humanity.”

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada delegasi UTU atas komitmen dan penglibatan aktif mereka dalam memperkasa penyelidikan biodiversiti akuatik serantau bersama USM.

48fe6713-cf6c-45b1-a055-72ee0466b9cd.jpg

“Penandatanganan MOA ini menandakan permulaan bab baharu dalam hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia. Kedua-dua USM dan UTU beriltizam untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti serantau serta menyumbang kepada pengurusan sumber akuatik yang mampan di Asia Tenggara,” jelas beliau lagi.

Dr. Norhafiz pula menjelaskan bahawa MoA ini mencerminkan kesinambungan usaha kedua-dua institusi dalam memperkukuh penyelidikan dan inovasi berkaitan biodiversiti akuatik serta pengurusan sumber semula jadi secara lestari.

“Majlis hari ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah nyata dalam memperkukuh kerjasama saintifik serantau antara Malaysia dan Indonesia, dua negara yang berkongsi aspirasi ekologi, budaya dan penyelidikan yang serupa,” katanya.

Melalui pelaksanaan MoA ini, kedua-dua universiti akan meneroka bidang penyelidikan, penerbitan bersama dan latihan berkaitan ekologi akuatik, akuakultur, kualiti air serta kajian pencemaran marin demi manfaat sejagat.

Teks: Dr. Norhafiz Hanafi Ahmad Shah, Pusat Pengajian Sains Kajihayat/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 275

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025