USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERPUSTAKAAN MUSA MOHAMAD DIRASMIKAN SEBAGAI MERAIKAN LEGASI TOKOH PENDIDIKAN NEGARA

LibraryMusa1

NIBONG TEBAL, 30 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melakar satu lagi detik bersejarah dengan pelancaran nama baharu perpustakaan di Kampus Kejuruteraan sebagai Perpustakaan Musa Mohamad, sempena mengenang jasa dan sumbangan besar Allahyarham Tan Sri Musa Mohamad dalam bidang pendidikan dan pembangunan universiti.

Nama baharu perpustakaan ini telah diwartakan pada 21 April 2025 sebelum dirasmikan pada hari ini, 30 Oktober 2025.

Dalam ucapannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pengiktirafan ini bukan sahaja memperingati jasa besar tokoh berkenaan, tetapi juga menzahirkan penghargaan universiti terhadap nilai-nilai kepimpinan dan keperibadian Allahyarham yang sentiasa menjiwai tanggungjawab mendidik serta menghargai warga akademia.

“Allahyarham Tan Sri Musa merupakan seorang yang berwibawa, berkaliber, dan mempunyai sentuhan peribadi yang tinggi terhadap warga universiti, selain amat komited dalam menghargai dan meraikan semua warga akademik,” katanya.

LibraryMusa2

LibraryMusa3

Sementara itu, Puan Sri Fauziah Shahrom dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu atas penghormatan yang diberikan, menyifatkan penamaan perpustakaan tersebut sebagai satu penghargaan yang amat bermakna selepas lebih tiga dekad Allahyarham bersara daripada USM dan 16 bulan selepas pemergiannya.

“Penamaan Perpustakaan Kejuruteraan ini amat besar maknanya dan membuktikan jasa-jasa Allahyarham masih dikenang,” kata Puan Sri.

Menurut beliau, Tan Sri Musa merupakan seorang insan istimewa yang dikurniakan kebijaksanaan, ketekunan, dan ketelitian luar biasa dalam menjalankan amanah.

LibraryMusa4

LibraryMusa5

Semoga nama beliau yang kini terpahat di perpustakaan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga akademik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob, berkata penamaan Perpustakaan Musa Mohamad ini amat bertepatan dengan peranannya sebagai gedung ilmu yang menyokong penyelidikan, inovasi, dan pencapaian akademik di kampus.

Menurut beliau, perpustakaan ini bukan sekadar ruang simpanan bahan ilmiah, tetapi juga pusat interaktif dan inovatif yang membantu mengembangkan potensi individu.

LibraryMusa6

LibraryMusa7

Ia akan terus berdaya tahan serta relevan dengan perkembangan teknologi semasa, menyediakan sumber maklumat terkini dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” ujarnya.

Allahyarham Tan Sri Musa Mohamad, tokoh akademik dan politik yang disegani, dilahirkan pada 29 November 1943 di Bagan Datuk, Perak, dan telah kembali ke rahmatullah pada 8 Jun 2024, meninggalkan legasi besar dalam bidang pendidikan dan pentadbiran negara.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor USM yang ketiga dari tahun 1982 hingga 1995, dan di bawah kepimpinannya, USM berkembang pesat menjadi antara universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia.

Turut sama hadir adalah Yang Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said; dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 65

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025