USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN SK JAWI JUARA KESELURUHAN PERTANDINGAN INNOZILLA 2025 DI FESTIVAL IDEA PULAU PINANG

PULAU PINANG, 27 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi muncul sebagai Juara Keseluruhan bagi kategori masing-masing dalam Pertandingan Inovasi INNOZILLA 2025, yang merupakan salah satu pengisian utama Festival Idea (FOI) Pulau Pinang 2025 yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) baru-baru ini.

USM melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan SK Jawi masing-masing meraih Anugerah Inovasi Terbaik bagi kategori penyelidik dan pelajar daripada lebih 150 penyertaan yang diterima.

Naib Juara dan tempat Ketiga bagi kategori pelajar dimenangi oleh SM Sains Kepala Batas dan SK Permatang Tok Mahat, manakala bagi kategori penyelidik diraih oleh UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Pusat Pengajian Sains Komputer, USM.

Kemenangan ini menjadi kebanggaan buat USM dan SK Jawi yang terus memperkukuh budaya inovasi serta memperlihatkan komitmen dalam melahirkan generasi berfikiran kreatif, kritikal, dan berdaya saing.

Penganjuran INNOZILLA 2025 di bawah payung Festival Idea Pulau Pinang bertujuan mengetengahkan budaya inovasi, perkongsian ilmu, dan pembangunan komuniti berasaskan teknologi serta kelestarian.

Buat julung kalinya, USM dilantik sebagai Ketua Penyelaras FOI Pulau Pinang dengan mengangkat tema “MADANI: Mencetus Idea, Membina Masa Hadapan,” yang turut menampilkan pelbagai program berimpak tinggi merangkumi inovasi, kelestarian, kesihatan pintar, semikonduktor, dan pemerkasaan komuniti.

Uniknya pada edisi kali ini, khutbah Jumaat khas yang disampaikan di seluruh masjid negeri Pulau Pinang pada 24 Oktober 2025 turut menyentuh kepentingan ilmu dan inovasi dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik global.

Festival ini menjadi platform penting yang menghubungkan akademia, industri, komuniti, dan kerajaan dalam usaha bersama membina negara maju berasaskan ilmu dan inovasi.

Festival Idea Pulau Pinang telah melabuhkan tirainya pada 25 Oktober lalu dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang membanjiri lokasi penganjuran sepanjang program berlangsung.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi, Pusat Inovasi dan Perundingan, USM

  • Created on .
  • Hits: 55

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025