DUA PENYELIDIK USM RANGKUL ANUGERAH BERPRESTIJ ANTARABANGSA
PULAU PINANG, 30 Dis. 2013 – Dua penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) unggul dalam The World Inventor Festival (WIAF) apabila meraih Anugerah Penyelidik Dunia 2013 dalam majlis tersebut yang berlangsung di Seoul, Korea baru-baru ini.
Kedua-dua mereka ialah penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad dan penyelidik wanita dari PP Sains Kajihayat, Profesor Dr. Darah Ibrahim.
Abdul Latif yang mempunyai kepakaran meluas dalam bidang teknologi membran dan berfokus kepada pemeliharaan alam sekitar mengungguli kategori kawalan pencemaran dan alam sekitar.
Manakala Darah pula yang berpengalaman dalam kajian berkaitan teknologi penapaian bahan pepejal yang juga berupaya menukarkan sisa buangan ke produk bernilai tambah diiktiraf dalam kategori bioteknologi.
Kedua-dua pensyarah berpengalaman tersebut telah dinilai dalam satu pemilihan khas yang menetapkan kriteria khusus termasuk pencapaian sepanjang karier meliputi sumbangan kajian dalam bidang ekonomi, penerbitan ilmiah, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya.
WIAF 2013 menjadi platform untuk mengiktiraf penyelidik dunia yang telah benyak menyumbang keringat dan jasa dalam membangunkan penyelidikan bertaraf antarabangsa dan menambah baik kualiti hidup masyarakat global. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1637