USM FC KUKUH PENGUASAAN DALAM SAINGAN LIGA A2 ZON UTARA

JITRA, KEDAH, 30 Oktober 2025 – Pasukan bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM FC) terus mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan MP Kubang Pasu 2-1 dalam aksi saingan Liga A2 AFL Zon Utara yang berlangsung di Jitra semalam.
Meskipun kehilangan hampir separuh daripada pemain utama, USM FC tetap menampilkan aksi bertenaga dengan barisan pemain simpanan berjaya mempersembahkan permainan yang membanggakan.

USM FC memulakan perlawanan dengan asakan awal namun beberapa percubaan gagal disempurnakan apabila sepakan ke arah gawang tersasar daripada sasaran.
MP Kubang Pasu terlebih dahulu membuka jaringan pada pertengahan babak pertama hasil tandukan pemain selepas sepakan penjuru yang menewaskan penjaga gol USM FC.
Tidak berputus asa, pemain USM FC bangkit mengatur serangan balas dan pada masa tambahan babak pertama, hantaran cantik dari bahagian tengah kepada Fauzi Kadar yang berjaya melepasi perangkap offside membawa kepada insiden menarik dalam kotak penalti apabila beliau dijatuhkan oleh pemain lawan.
Sepakan penalti yang disempurnakan oleh Aidil Danial mudah menewaskan penjaga gol MP Kubang Pasu sekali gus menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Babak kedua bermula dengan tempo yang lebih perlahan namun USM FC terus mendominasi permainan dengan beberapa gerakan menarik yang hampir menghasilkan jaringan tambahan.
Fauzi Kadar akhirnya menebus peluang terlepas apabila menjaringkan gol kedua hasil rembatan deras selepas menerima hantaran kemas dari bahagian kanan padang.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan tuan rumah mula bermain secara agresif namun setiap percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan USM FC yang beraksi cemerlang dan berdisiplin tinggi.
Dengan kemenangan ini, USM FC kekal kukuh di tangga teratas Liga A2 Zon Utara dengan kutipan 15 mata hasil lima kemenangan berturut-turut.
Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff, yang meluangkan masa hadir ke Jitra bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan universiti.
Kemenangan tersebut menjadi suntikan semangat kepada USM FC yang bakal beraksi dalam saingan Liga Divisyen 1 esok di Padang A dengan barisan pemain yang hampir sama.
Teks: Muhamad Sidek Karim, Jabatan Pendaftar/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 124