USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN HARI INTEGRITI 2025: KOMITMEN USM TERHADAP TADBIR URUS DAN ETIKA KERJA BERINTEGRITI

USM PULAU PINANG, 3 November 2025 – Sebagai usaha berterusan ke arah memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus cemerlang dalam kalangan warga kampus, Universiti Sains Malaysia (USM) terus berinisiatif dengan menganjurkan Sambutan Hari Integriti Peringkat USM di sini hari ini.

WhatsApp Image 2025 11 03 at 13.34.09 c09f8d88

Majlis yang bertemakan “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” anjuran Unit Integriti, Pejabat Perundangan USM itu bertujuan memupuk budaya kerja beretika, berintegriti serta bebas rasuah dalam kalangan warga kampus, seiring usaha memperkasa sistem pendidikan tinggi negara yang telus dan bertanggungjawab.

Program sehari itu juga dimuatkan dengan pelbagai pengisian yang menekankan kepentingan etika kerja berintegriti serta komitmen terhadap persekitaran universiti yang bebas rasuah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dan dihadiri oleh warga USM serta wakil agensi kerajaan sekitar Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2025 11 03 at 13.33.59 c7bdb6e4

Abdul Rahman dalam ucapannya menegaskan bahawa kesejahteraan negara bukan sekadar diukur melalui pembangunan ekonomi dan fizikal, tetapi turut bergantung kepada kekuatan nilai dan etika yang diamalkan oleh rakyat.

Katanya, integriti yang merangkumi kejujuran, ketelusan, akauntabiliti, dan kebertanggungjawaban adalah asas kepada kepercayaan dan kestabilan negara serta perlu dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat.

“Memperkukuh ekosistem integriti di universiti adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan semua warga kampus. Semua yang bergelar warga USM perlu menjalankan amanah masing-masing dengan integriti yang tinggi.

“Budaya berintegriti tinggi adalah satu tanggungjawab kolektif. Setiap individu adalah ‘duta integriti’ bagi diri, keluarga, dan universiti,” ujarnya dalam majlis yang turut memuatkan pelbagai acara sampingan berkait dengan objektif program.

WhatsApp Image 2025 11 03 at 13.33.53 720c3a11

Kemuncak program pula menyaksikan lafaz Ikrar Integriti secara beramai-ramai sebagai simbol komitmen terhadap amalan integriti dalam setiap urusan universiti.

WhatsApp Image 2025 11 03 at 13.34.01 f6775a66

Turut diadakan ialah penyerahan Sijil Program Universiti Tempat Kerja Bebas Dadah (UTEKAD) oleh Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang, Roswati Apin, kepada Naib Canselor USM sebagai pengiktirafan terhadap usaha universiti memastikan persekitaran kerja bebas daripada penyalahgunaan dadah.

WhatsApp Image 2025 11 03 at 13.33.48 88265287

Majlis juga diserikan dengan ceramah integriti oleh penceramah bebas terkenal, Syamsul Debat, yang berkongsi pandangan menerusi topik “Mentransformasikan Etika Kerja Berintegriti untuk Kelestarian Hari Esok,” bertujuan memberi inspirasi dan motivasi kepada peserta untuk menjadikan integriti sebagai gaya hidup dan budaya kerja seharian.

USM menerusi penganjuran ini terus menzahirkan komitmen dalam melahirkan warga universiti yang menjunjung nilai kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab, selaras dengan aspirasi nasional ke arah masyarakat yang sejahtera dan bebas rasuah.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohamad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025