USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMPEN GAYA HIDUP SIHAT: USM JADI TUAN RUMAH JELAJAH AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT & KARNIVAL SIHAT TANPA AIDS

IMG 20251101 WA0102

USM PULAU PINANG, 1 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menjadi tuan rumah penganjuran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Timur Laut sempena Karnival Sihat Tanpa AIDS Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai gaya hidup sihat dan pencegahan HIV/AIDS.

IMG 20251101 WA0103

Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin, manakala Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, hadir mewakili Naib Canselor USM.

IMG 20251101 WA0101

Dalam ucapan perasmiannya, Fazilah menegaskan komitmen kerajaan melalui ANMS dalam mempromosi budaya hidup sihat merentas komuniti dan institusi, termasuk universiti.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang merekodkan 232 kes HIV baharu pada tahun 2024, dengan 67.9% kes melibatkan golongan muda berusia 20 hingga 39 tahun.

“Sasaran sifar AIDS bukan angan-angan. Dengan kerjasama semua pihak termasuk institusi pendidikan seperti USM, kita mampu membentuk masyarakat yang sihat dan berdaya tahan,” ujar beliau.

IMG 20251101 WA0100

Sementara itu, Azlan dalam ucapan alu-aluan menekankan peranan pendidikan dalam memerangi stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV, selain meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pencegahan penyakit tersebut.

 IMG 20251101 WA0112

“USM percaya pendidikan adalah kunci. Dengan ilmu yang tepat, kita bukan sahaja dapat mengurangkan jangkitan HIV tetapi juga memupuk empati dan penerimaan dalam masyarakat,” katanya.

IMG 20251101 WA0090

Karnival yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar USM itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pemeriksaan kesihatan, saringan HIV sukarela, pameran kesihatan, senamrobik serta sesi pendidikan mengenai gaya hidup sihat, kesihatan mental, dan bahaya penggunaan rokok serta vape.

IMG 20251101 WA0094

Turut diadakan ialah hebahan mengenai inisiatif Wellness Hub dan peranan sukarelawan MyCHAMPION dalam usaha memperkasakan komuniti terhadap kesihatan kendiri.

IMG 20251101 WA0084

Program ini melibatkan kerjasama antara USM, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, dan pelbagai agensi kerajaan, organisasi swasta serta NGO berkaitan kesihatan.

Teks: Pusat Sejahtera USM/Suntingan: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 232

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025