NADI TRADISI USM RANGKUL GELARAN JOHAN DI FESTIVAL WAYANG KULIT KELANTAN

ASWARA, KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2025 – Kumpulan Nadi Tradisi Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Persembahan Wayang Kulit Kelantan sempena Festival Wayang Kulit Kelantan 2025 yang berlangsung di Panggung Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur.
Pertandingan anjuran Jabatan Warisan Negara (JWN) itu turut disertai oleh tiga institusi pengajian tinggi lain iaitu ASWARA, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Penyertaan tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila JWN buat julung kalinya membuka ruang kepada penyertaan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
USM tampil buat pertama kalinya dalam pertandingan ini dan membawa pulang kejuaraan melalui persembahan bertenaga dan berbudaya tinggi.
Kumpulan Nadi Tradisi terdiri daripada gabungan staf dan pelajar dari Pusat Pengajian Seni (PPS), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) serta warga seni dari Dewan Budaya.

Antara individu utama yang terlibat termasuklah karyawan tamu PPS, Che Mat Jusoh selaku penasihat; Pengurus dan Pensyarah Kanan PPS, Dr. Fara Dayana Mohd Jufry; serta artis budaya Dewan Budaya merangkap dalang, Nur Liyana Che Mohamad.
Turut menyumbang tenaga ialah Mohd Farid Kamaruzaman (pemuzik dan pensyarah sambilan PPS) serta tiga pelajar PPIP iaitu Muhammad Zairie Megat Othman, Amir Mursyid Ahmad, dan Muhammad Amir Syarafudin Kitman.
Menurut Fara, kumpulan tersebut menjalani latihan intensif selama dua minggu sebagai persiapan menghadapi pertandingan.
“Mencari pelapis untuk mengangkat kesenian tradisional adalah satu cabaran, maka saya membuka ruang kepada staf dan pelajar untuk bersama-sama menyertai kumpulan bagi membentuk Nadi Tradisi,” ujar beliau.
Fara mengakui tidak menyangka bahawa USM akan berjaya mengalahkan tiga institusi lain yang lebih berpengalaman dalam arena ini.
“Namun kami telah berlatih sehabis baik bagi memberi persembahan wayang kulit Kelantan yang berkualiti,” jelasnya.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut mengucapkan syabas di atas kejayaan cemerlang ini.
Tambah beliau, warga USM berasa kagum dengan persembahan wayang kulit Kelantan yang berkualiti di samping semangat kerjasama dan kesungguhan yang telah membawa kejayaan.
Kemenangan ini turut diraikan bersama penasihat utama kumpulan, Che Mat Jusoh, yang banyak membimbing dari awal.

Menurut Fara lagi, kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang utuh serta semangat yang tidak berbelah bahagi terhadap kesenian tradisional.
“Nadi Tradisi berhasrat untuk mengangkat kesenian tradisional dan sanggup menggalas tanggungjawab menyokong USM memartabatkan kesenian di mata dunia,” katanya.
Beliau berharap agar kemenangan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh posisi USM sebagai institusi yang bukan sahaja unggul dalam bidang sains, tetapi juga dalam bidang kesenian seiring dalam memartabatkan warisan budaya.
Teks: Farisha Norlia Akihito, Pusat Pengajian Komunikasi USM/ Foto: Dr. Fara Dayana Mohd Jufry, Pusat Pengajian Seni USM
- Created on .
- Hits: 281