KESAKSAMAAN PENDIDIKAN FOKUS UTAMA USM DALAM AGENDA PEMBANGUNAN PELAJAR
USM PULAU PINANG, 29 Oktober 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan Majlis Amanat Siswa Sulung bersama Naib Canselor di Dewan Pembangunan Siswa (KOMCA) sebagai manifestasi komitmen universiti dalam memastikan kesaksamaan akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, program Siswa Sulung berperanan memperkasakan pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan generasi pertama melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Setakat ini, seramai 1,135 pelajar telah menerima manfaat Siswa Sulung di USM, termasuk 272 pelajar baharu bagi Sidang Akademik 2025/2026.
Program ini merangkumi pengecualian penuh yuran pengajian, yuran pendaftaran serta yuran berulang berjumlah hampir RM3,000 bagi semester pertama pengajian.
USM turut memperuntukkan hampir RM10,000 bagi setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian, merangkumi bantuan komputer riba, bantuan awal pelajaran dan sokongan kebajikan yang lain.
Jumlah keseluruhan peruntukan bagi pelaksanaan Program Siswa Sulung ini mencecah RM11.2 juta.
Dalam ucapan amanatnya, Naib Canselor turut mengingatkan para pelajar agar merebut peluang yang diberikan dengan bersungguh-sungguh, menguasai kompetensi digital dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), serta meningkatkan kebolehan komunikasi dalam pelbagai bahasa bagi menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Beliau menambah bahawa latar belakang sederhana bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan, malah menjadi kekuatan dalam membina ketabahan dan jati diri.
Kejayaan pelajar pada masa hadapan diharap menjadi kebanggaan keluarga, komuniti serta negara.
Majlis Amanat Siswa Sulung ini juga menjadi simbol sokongan berterusan USM dalam pembangunan modal insan melalui program sahsiah, kepimpinan dan keusahawanan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) demi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berfikiran global.
Turut hadir bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Pendaftar, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq, Dr. Nazrul Hassan; dan Ketua Sekretariat Siswa Sulung Sidang Akademik 2025/2026, Sheilawanis Abdul Karim.
Teks: Muhammad Airul Afzan Azlan, Intern@MPRC/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 42