USM RANGKUL EMPAT ANUGERAH CEMERLANG AAN 2025

1) PAKAR ARKEOLOGI USM DIIKTIRAF TOKOH AKADEMIK NEGARA KE-16 DAN
2) TIGA AHLI AKADEMIK USM RANGKUL PELBAGAI ANUGERAH AAN
SUBANG JAYA, SELANGOR, 25 Oktober 2025 – Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16 mengiktiraf keunggulan ilmuwan tempatan dalam memartabatkan dunia akademia.
Anugerah Akademik Negara yang diperkenalkan pada tahun 2006 merupakan anugerah tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menghargai ahli akademik cemerlang dalam pelbagai bidang.
Ia bukan setakat menilai keunggulan dalam pengajaran dan penyelidikan, malah turut mengiktiraf peranan universiti dalam membangun masyarakat dan negara secara dinamik.


PAKAR ARKEOLOGI USM
Kemuncak AAN 2025 ialah pengikhtirafan Profesor Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Tokoh Akademik Negara 2025.
Sebagai saintis ulung dan pelopor arkeologi Malaysia, sumbangan beliau sejak akhir 1970-an telah merevolusikan pemahaman terhadap prasejarah negara melalui penyelidikan penting di Lembah Lenggong dan Gua Niah, termasuk penemuan teknologi alat batu Paleolitik tertua di Asia Tenggara serta perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.
Antara penemuan terbesar beliau ialah rangka Perak Man berusia 10,000 tahun yang mempunyai kecacatan genetik; suatu penemuan yang telah mengubah landskap sejarah arkeologi serta turut membuka dimensi baharu dalam bidang sains perubatan dan genetik.
Sumbangan ini turut membawa kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012.
Hasil visi dan kepimpinan beliau, maka tertubuhnya Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia di USM (1999) yang kini menjadi pusat rujukan utama di Asia Tenggara.
Beliau juga mengasaskan Jabatan Warisan Negara (2006–2014), merangka Akta Warisan Kebangsaan 2005, serta bertanggungjawab mendaftarkan lebih 449 warisan negara.
Menurut Siti Zuraina, pengiktirafan tersebut amat tidak disangka, kerana sepanjang perjalanan kariernya, tumpuan beliau hanyalah terhadap ilmu dan tanggungjawab terhadap bidang arkeologi, bukan kepada ganjaran atau penghargaan.
“Ketika saya menceburi bidang arkeologi pada awalnya, belum ada pemegang PhD dalam bidang ini di Malaysia. Atas rasa tanggungjawab itu, saya kembali ke tanah air untuk membangunkan disiplin arkeologi tempatan,” ujar beliau.
Atas dedikasi luar biasa dalam memelihara khazanah warisan serta membentuk pemahaman saintifik tentang asal-usul manusia, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award dan Anugerah Merdeka 2022.
Kini, beliau terus aktif sebagai pakar rujuk warisan dan akademik global, meneruskan legasi penyelidikan dan kepimpinan intelektual negara.
Anugerah tertinggi ini disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang mewakili Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Siti Zuraina membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai bernilai RM200,000.
Anugerah ini sebagai simbol tertinggi pengiktirafan terhadap dedikasi dan warisan intelektual beliau kepada negara.

USM TERUS UNGGUL RANGKUL TIGA LAGI PELBAGAI ANUGERAH AKADEMIK NEGARA
Selanjutnya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut hadir menyaksikan kejayaan bermakna ini menyatakan:
"Anugerah Akademik Negara (AAN) merupakan wahana tertinggi dalam mengangkat martabat keilmuan dan mengiktiraf sumbangan luar biasa para ilmuwan tanah air. Ia adalah penghormatan kepada minda cemerlang yang memperkasa pembangunan negara menerusi pemikiran, penyelidikan dan kepakaran yang tiada tandingan.”
USM terus menyerlah apabila tiga orang dalam kalangan akademiknya turut menerima pengiktirafan berprestij AAN Ke-16, iaitu:


a) Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial dan Sastera)
Dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr. See Kok Fong, penyelidik berpengaruh antarabangsa dalam bidang analisis kecekapan dan produktiviti, yang aktif menerbitkan karya dalam jurnal berimpak tinggi serta menjalin kerjasama akademik di pelbagai rantau dunia.


b) Anugerah Penerbitan Buku
Diterima oleh Profesor Datin Dr. Norhayati Mohd Noor, pakar Kesihatan Awam bertaraf dunia yang tersenarai dalam Top Scientists in the World oleh Universiti Stanford selama tiga tahun berturut-turut, atas sumbangan besar beliau dalam bidang kesihatan keluarga dan penyelidikan global.


c) Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk
Dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, pengasas Visionlytics Sdn. Bhd., yang berjaya mengkomersialkan penyelidikan teknologi AI industri berimpak tinggi dengan nilai melebihi RM4 juta, memperkukuh inovasi dan ekonomi digital negara.
Majlis berprestij ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan serta institusi pendidikan tinggi dalam menyemarakkan budaya ilmu, memperkasa penyelidikan, dan menjulang keunggulan akademia Malaysia ke persada antarabangsa.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan@MPRC/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 556