3KPP 2025 KEMBANGKAN BAKAT KEUSAHAWANAN PELAJAR, MARTABATKAN USAHAWAN TEMPATAN DAN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGERI
USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2025 – Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang (3KPP) 2025 merupakan platform penting bagi para pelajar, graduan, dan masyarakat Pulau Pinang dalam merintis perjalanan cemerlang dalam bidang pendidikan, kerjaya, dan keusahawanan.
Demikian ujar Profesor Dr. Azlan Amran, Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, ketika memberikan ucapan perasmian penutupan 3KPP 2025 di Padang Kawad, USM Kampus Induk pagi tadi.
Azlan yang mewakili Naib Canselor USM turut menambah, penglibatan diri pelajar secara langsung dengan syarikat-syarikat dan juga organisasi-organisasi yang berprestij akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri dan peluang pekerjaan.
“Saya berharap agar program ini memberi manfaat yang besar kepada semua peserta, pelajar, graduan, usahawan, dan masyarakat Pulau Pinang secara keseluruhannya.
“Semoga karnival ini menjadi titik permulaan kepada perkembangan sahsiah pelajar dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Menurut Azlan lagi, terdapat permintaan tinggi terhadap kemahiran digital.
“Kajian menunjukkan lebih 60% majikan menganggap kemahiran digital sangat penting, manakala hampir separuh menekankan analisis data.
“Kerajaan juga menyasarkan 50,000 tenaga mahir dalam bidang siber dan data menjelang 2025.
“Ini bermakna graduan perlu cepat kuasai kemahiran digital seperti pemasaran digital, keselamatan siber, dan kecerdasan buatan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Muhammad Zafran Mohd Sabri, selaku Pengarah Projek 3KPP 2025, saya berasa amat berbesar hati dan bangga atas kejayaan penganjuran karnival ini.
“Acara yang penuh makna ini merupakan bukti kerjasama yang erat antara Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, serta agensi-agensi rakan strategik lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kami berkongsi misi yang sama, iaitu untuk memartabatkan usahawan-usahawan di seluruh Pulau Pinang, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Dekan-dekan pusat pengajian; dan pegawai-pegawai universiti.
3KPP 2025 merupakan sebuah program anjuran Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA dengan kerjasama Sekretariat 3KPP, Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Sektor Perdagangan, Industri dan Usahawan), agensi perbadanan, dan agensi-agensi terlibat dalam keusahawanan.
Karnival tersebut diadakan bertujuan untuk memartabat serta memperkasa ekonomi usahawan kecil dan sederhana di sekitar Pulau Pinang yang mensasarkan pelajar institusi pengajian tinggi zon utara secara am, warga USM, pihak industri, komuniti setempat, dan para usahawan.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 75