USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FOI PULAU PINANG 2025 PERKUKUH WAWASAN PENANG 2030 KE ARAH NEGERI PINTAR DAN HIJAU

GELUGOR, PULAU PINANG, 25 Oktober 2025 – Penganjuran Festival Idea (FOI) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh agenda pendidikan, inovasi, dan digitalisasi selaras dengan aspirasi Wawasan Penang 2030 untuk melahirkan negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.28.15 0ddf9d51

Menurut Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, usaha kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi memperlihatkan komitmen padu dalam membina ekosistem pendidikan yang inklusif dan lestari.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.30.19 0db116b4

“Selain itu, festival berimpak tinggi ini bukan sahaja memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan pelajar, malah ia membuka ruang kepada masyarakat untuk memupuk daya fikir kritis dan kreatif dalam mencari penyelesaian kepada pelbagai isu semasa.

“Kerajaan negeri amat komited dalam menyediakan suasana pembelajaran kondusif serta menyokong digitalisasi pendidikan. Ini terbukti apabila Pulau Pinang menjadi negeri pertama mencatatkan 100 peratus sekolah yang dilengkapi sekurang-kurangnya sebuah smartboard,” katanya ketika merasmikan Penutupan FOI Pulau Pinang 2025.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.29.38 43de2378

Beliau turut menegaskan bahawa festival seumpama ini mampu memperkukuh asas inovasi tempatan, terutama dalam memperkasa bidang STEM sekaligus memenuhi keperluan tenaga kerja mahir industri menjelang tahun 2030 seiring dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai “Silicon Valley of The East.”

Tambah beliau, model kerjasama antara kerajaan, universiti dan sektor korporat yang dipamerkan melalui penganjuran FOI kali ini menjadi asas penting dalam melahirkan generasi celik digital serta berdaya saing global.

“Festival seperti ini seolah mencipta peluang untuk menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri maju,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.30.16 3b0e55b0

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya menyifatkan Festival Idea Pulau Pinang 2025 sebagai wadah penting untuk menyatukan idea daripada ahli akademik, pelajar, komuniti, dan industri untuk bersama-sama membentuk masa depan yang lebih lestari dan berdaya saing.

“Tema tahun ini, MADANI: Mencetus Idea, Membina Masa Hadapan, membawa mesej yang cukup kuat kerana ia mengajak kita melihat bagaimana nilai kemanusiaan, ilmu dan inovasi boleh disatukan untuk membentuk masa hadapan yang sejahtera dan mampan,” katanya.

“Universiti juga tidak lagi berdiri sebagai menara gading yang terasing, sebaliknya menjadi rakan strategik masyarakat dalam menjana idea dan solusi untuk cabaran kehidupan seharian,” tambahnya.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.29.39 aba681d5

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab dan Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM merangkap Pengerusi Bersama FOI Pulau Pinang 2025, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan atas kepimpinan serta dedikasi mereka menjayakan festival berimpak tinggi ini.

Turut hadir di majlis penutupan FOI Pulau Pinang ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, pihak pengurusan tinggi, dan ketua-ketua jabatan USM yang banyak membantu menjayakan program tersebut.

FOI 2025 turut menampilkan pelbagai pertandingan inovasi, perkongsian idea, pameran interaktif STEAM, forum pakar, dan penglibatan aktif daripada pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negeri.

WhatsApp Image 2025 10 25 at 19.30.46 76403d1e

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pemenang-pemenang pertandingan inovasi SDG INNOZILLA sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan daya cipta belia tempatan.

Penganjuran FOI Pulau Pinang tersebut merupakan kesinambungan daripada program peringkat kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun lalu dan akan menutup tirainya di Putrajaya pada bulan November 2025.

Teks: Anis Ariney Mohd Asri/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 393

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025