USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM MENYINAR DI PERSADA ANTARABANGSA: WAKILI MALAYSIA DALAM ASEAN-JAPAN FOUNDATION YOUTH FORUM-TASC 2025 DI FILIPINA

 

USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2025 – Dua pelajar cemerlang dari Universiti Sains Malaysia (USM), Then Min Han dan Shivabala A/L Ganeish, telah mengharumkan nama negara apabila terpilih mewakili Malaysia dalam ASEAN-Japan Foundation Youth Forum – Take Actions for Social Change (TASC) 2025 yang berlangsung di Cebu dan Manila, Filipina.

 

Forum selama enam hari bermula 30 Ogos hingga 5 September 2025 itu bertemakan “Sisa Plastik” dan menghimpunkan seramai 28 peserta dari lapan negara ASEAN serta Jepun.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif “Partnership to Co-create a Future with the Next Generation: WA Project 2.0” yang bertujuan memperkukuh persefahaman antara belia serantau melalui aktiviti dalam talian, lawatan lapangan, dan sesi interaktif.

Min Han, pelajar tahun dua Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bioproses, berjaya menempatkan diri dalam forum berprestij tersebut hasil penglibatan aktif beliau dalam isu kelestarian alam sekitar.

Beliau merupakan Penyelaras Utama Green Ambassadors (GA), sebuah entiti sukarelawan di bawah Environmental Protection and Education Hub (EPEHub@CGSS), USM.

Sokongan penuh daripada Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) merangkap Penyelaras EPEHub, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo serta pencapaian cemerlang dalam penilaian esei dan temu duga telah melayakkan beliau sebagai wakil Malaysia.

Shivabala, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Komputer, turut memainkan peranan penting dalam forum tersebut sebagai ‘duta hijau’ Malaysia.

Kedua-dua pelajar telah diberi kepercayaan untuk terlibat secara aktif dalam dialog antara negara, membangunkan pelan tindakan bersama, dan membentangkan hasil dapatan mereka.

Prestasi mereka yang memberangsangkan telah melayakkan mereka untuk menyertai fasa seterusnya forum tersebut yang akan berlangsung di Jepun dari 30 November hingga 7 Disember 2025, dengan kos perjalanan dan penginapan ditanggung sepenuhnya.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pendekatan sistematik dalam pengurusan sisa plastik dan sisa buangan, termasuk teknologi terkini yang menukarkan sisa plastik kepada bahan api.

Mereka juga mengikuti kuliah oleh pakar profesional dan berpeluang melawat kawasan ekologi semula jadi yang memperkukuh kefahaman mereka tentang kepentingan perlindungan alam sekitar.

Isu sisa plastik yang semakin meruncing merupakan ancaman global terhadap ekosistem dan kesejahteraan manusia.

Forum ini menjadi platform penting bagi belia ASEAN dan Jepun untuk berganding bahu merangka pelan tindakan serta mencari penyelesaian inovatif dalam menangani pencemaran plastik.

Usaha ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, yang menekankan kepentingan amalan lestari dan kolaborasi antarabangsa demi masa depan bumi yang lebih lestari.

Kejayaan Min Han dan Shivabala bukan sahaja membanggakan USM, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk terus menyumbang ke arah kelestarian global.

Teks & Foto: Then Min Han & Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, CGSS USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 141

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025