FOI PULAU PINANG 2025: PACU PEMIKIRAN INOVATIF BERTERASKAN ASPIRASI MALAYSIA MADANI
GELUGOR, PULAU PINANG, 24 Oktober 2025 – Festival Idea (FOI) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Oktober di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) membuka tirainya dengan penuh semangat dan inspirasi, menghimpunkan pemikir, penggiat industri serta komuniti akademik dan pelajar bagi membincangkan cabaran dan peluang masa depan negara.

Bertemakan “MADANI: Mencetus Idea, Membina Masa Hadapan,” festival tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Dalam ucapannya, Mohd Nor Azman menekankan pentingnya budaya berfikir secara kritikal dan inovatif dalam membentuk kesejahteraan masyarakat.
“Malah, penganjuran festival ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global.
“Kemajuan bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi melalui keupayaan manusia untuk berfikir secara kritikal, berinovasi dan membina masa hadapan dengan nilai,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Tambah beliau, FOI turut menjadi wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat melibatkan ahli akademik, pelajar, komuniti dan rakan industri dalam mencipta penyelesaian transformatif terhadap cabaran masa hadapan.
“Inilah ruang di mana idea kecil boleh menyala menjadi gerakan besar, dan di mana masa depan mula dibentuk melalui keberanian untuk berfikir secara berbeza,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut berharap agar setiap idea yang dicetuskan sepanjang festival ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan memberi impak nyata kepada masyarakat serta pembangunan negara.

Penganjuran FOI Pulau Pinang 2025 adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama USM dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta sokongan rakan strategik dalam kalangan pemain industri dan komuniti setempat yang menunjukkan komitmen tinggi.
Festival Idea ini merupakan kesinambungan daripada program peringkat kebangsaan yang telah diperkenalkan pada tahun lalu, dan akan melabuhkan tirainya pada kemuncak FOI di Putrajaya pada bulan November 2025.

Yang menarik FOI Pulau Pinang ini turut menampilkan pertandingan Inovasi SDG INNOZILLA yang melibatkan sebanyak 170 reruai pertandingan dengan sasaran peserta daripada kalangan inovator Universiti Awam, IPTS, Kolej-kolej, Politeknik, dan sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang.
Pertandingan ini diharapkan akan dapat menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan profesional dan pelajar yang berada di Pulau Pinang.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Ahli Lembaga Gabenor USM, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Women’s Development Corporation Sdn. Bhd., Dato' Ong Bee Leng; Pengarah Eksekutif, Penang Institute, Dato’ Dr. Ooi Kee Beng; Presiden, The International Intellectual Property Commercialization Council (IIPCC) Malaysia, Profesor Patricia Chung Wei Leng; dan Pengarah, Pusat Inovasi dan Perundingan USM merangkap Pengerusi Bersama Festival Idea Pulau Pinang 2025, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan.
Teks: Anis Ariney Mohd Asri & Tan Ewe Hoe/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 353